Pelakon dan pengacara Zoey Rahman melaburkan hampir RM100,000 bagi membina sebuah studio khas.
Semakin sukses di bidang bisnes, Zoey mengambil pendekatan berbeza kerana tidak mahu menumpang publisiti murahan atau bergantung pada strategi pemasaran yang bersifat sensasi semata-mata.
Memperkenalkan jenama baharu, Luna Clara, Zoey memilih untuk membina studio fizikal berkonsepkan mini mart dan kafe dengan sentuhan retro serta palet warna pastel sebagai daya penarik untuk siaran langsung interaktif bersama pengikutnya.
“Jom main masak masak sambil packing parcel. Itu idea yang terkeluar dari kotak fikiran saya sewaktu memikirkan bagaimana bentuk interaksi dan cara marketing berbeza yang perlu saya lakukan untuk buah hati terbaharu saya, Luna Clara.
“Saya memilih konsep mini mart dan café dengan sentuhan retro dan gabungan warna pastel sebagai daya tarikan. Alhamdulillah, ia berjaya dan mendapat reaksi dan maklum balas yang sangat positif,” ujarnya.
Zoey yang sudah hampir sedekad berkecimpung dalam dunia perniagaan menjelaskan yang semua langkah ini adalah hasil perancangan awal yang dimulakan ketika dia masih aktif dalam bidang seni.
“Saya membuat persediaan awal sewaktu masih aktif dalam dunia hiburan kerana saya memikirkan apa akan jadi pada masa depan. Walaubagaimanapun bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Tambahan pula corak pemasaran kini sangat berbeza sewaktu saya memulakan perniagaan dulu. Setiap hari akan ada sahaja pembaharuan dalam sistem online. Kalau terleka atau terlambat sikit, pastinya kita akan ketinggalan,” jelasnya.
Apa yang lebih menggembirakan, Zoey mendedahkan ramai penonton menganggap visual siarannya dihasilkan menggunakan teknologi moden seperti green screen dan AI, walhal semuanya dilakukan secara fizikal.

“Perkara yang paling mengujakan saya apabila mendapat respon positif dan ramai yang menyangka saya menggunakan green screen, AI dan macam macam lagi.
“Sedangkan semua props di dalam studio ini adalah peralatan yang sebenar. Rata-rata dari pengikut yang menonton live saya akan request dan tunggu saya mula main masak masak,” tambah Zoey.
Selepas kejayaan Mikaseries yang telah berada dalam pasaran selama hampir 10 tahun, Zoey kini memperkenalkan Luna Clara, jenama baharu yang lebih memfokuskan kepada produk penjagaan badan.
Namun menariknya, Zoey memilih untuk tidak menjadi wajah utama kepada jenama tersebut.
“Untuk Luna Clara saya tak mahu ke depan. Tetapi biarlah Ratu hati saya yang menjadi daya penarik. Insya-Allah, sikit masa lagi saya akan umumkan siapakah Ratu hati saya itu,” katanya penuh misteri.




