ZLATAN Ibrahimovic tampil mempertahankan Lionel Messi selepas Inter Miami disingkirkan daripada saingan Piala Dunia Kelab FIFA sambil menyamakan rakan sepasukan bintang Argentina itu dengan ‘patung’.
Inter Miami dan Messi tewas 4-0 kepada bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pusingan 16 terbaik pada Ahad lalu.
Ibrahimovic yang pernah bergandingan bersama Messi di Barcelona nyata tidak teruja dengan persembahan kelab MLS itu yang bolos empat gol dalam separuh masa pertama menentang juara Liga Juara-Juara Eropah itu.
“Yang kalah bukan Messi, tetapi Inter Miami.
“Messi bermain dengan patung, bukan pemain bola sepak sebenar. Dia dikelilingi oleh pemain yang berlari seperti sedang memikul beg simen,” katanya.
Ibrahimovic, yang pernah beraksi dalam MLS bersama LA Galaxy berkata, para peminat tidak berpeluang menyaksikan versi terbaik Messi dalam kejohanan itu kerana ketiadaan kualiti sebenar dalam skuad Inter Miami.
“Ini bukan Messi yang saya kenal. Kalau dia berada dalam pasukan sebenar, dia akan tunjukkan keupayaan sebenar. Di Miami, tiada jurulatih, tiada bintang, malah tiada pemain yang faham pergerakan tanpa bola. Kalau dia bersama pasukan elit, anda akan lihat singa sebenar.
“Messi bermain bersendirian kerana cintanya terhadap bola sepak, kerana dia masih mampu buat apa yang 99 peratus pemain lain tak mampu. Tapi kali ini bukan Messi yang saya kenal,” katanya.
Bagaimanapun, Messi yang memenangi Ballon d’Or sebanyak lapan kali memilih untuk melihat aspek positif.
Inter Miami yang berjaya menewaskan FC Porto 2-1 dalam peringkat kumpulan sebelum ini mencipta sejarah sebagai kelab MLS pertama menewaskan kelab Eropah dalam saingan rasmi serta satu-satunya wakil MLS yang layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan tersebut.
“Ia adalah perlawanan seperti yang kami jangkakan. Kami cuba berikan yang terbaik dan kami tinggalkan imej yang baik di pentas Piala Dunia Kelab,” kata Messi selepas perlawanan menentang PSG.