am@hmetro.com.my
Muar: Lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan dalam sebuah pasar raya di Kluang, awal bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh, Mamun Md Firozzal, 67, susulan warga emas itu tidak memahami bahasa Melayu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang juga gelandangan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan berusia 11 dan 12 tahun di sebuah pasar raya, jam 4 petang, 8 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.
Hukumannya, penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan buat, kedua-dua mangsa ke pasar raya terbabit untuk membeli barangan sebelum didatangi tertuduh.
Selepas melakukan perbuatan itu, orang awam dan pekerja pasar raya menahannya dan semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan perbuatan dilakukannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 10 Julai ini untuk sebutan kehadiran jurubahasa dan tiada tawaran ikat jamin diberikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




