KLANG – Coca-Cola Malaysia terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama strategik dengan organisasi bukan untung, The Ocean Cleanup, bagi melancarkan kemudahan pengasingan sisa di Sungai Klang, hari ini.
Kemudahan tersebut dirasmikan oleh Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain dan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr Ching Thoo.
Turut terlibat dalam inisiatif ini ialah Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) dan J&K Wonderland Foundation.
Dengan sokongan dana daripada Coca-Cola Malaysia dan J&K Wonderland Foundation serta pelaksanaan oleh LLSB, kemudahan tersebut menyasarkan usaha memaksimumkan hasil kitar semula sisa yang dikutip daripada Sungai Klang, termasuk yang dikumpulkan menggunakan teknologi Interceptor 002 dan sistem log boom milik The Ocean Cleanup.

Amanda (dua dari kanan ) mengiringi Abd Hamid (tengah) dan Dr. Ching (empat dari kiri) pada Majlis Perasmian Kemudahan Pengasingan Sisa Sungai Klang di sini pada Rabu. Foto Asril Aswandi Abd Shukor
Pengarah Kanan Operasi Francais The Coca-Cola Company bagi pasaran Singapura, Malaysia dan Brunei, Amanda Lin berkata, usaha ini adalah sebahagian daripada pendekatan serantau Coca-Cola dalam menyokong penyelesaian jangka panjang terhadap pencemaran plastik.
“Usaha kami di Sungai Klang ini adalah sebahagian daripada kerjasama lebih besar dengan The Ocean Cleanup di Asia Tenggara, termasuk di Thailand, Vietnam dan Indonesia.
“Pasukan kami turut terlibat di lapangan bagi membantu pelaksanaan dan penskalaan teknologi mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Kemudahan Pengasingan Sisa Sungai Klang di sini pada Rabu.
Menurut Amanda lagi, pendekatan kolaboratif ini menggambarkan peranan penting sektor swasta dalam menangani cabaran alam sekitar melalui inovasi dan kerjasama rentas industri.
Kemudahan ini menempatkan pasukan pekerja sepenuh masa yang mengasingkan sisa secara manual dan membezakan bahan boleh dikitar semula seperti plastik dan aluminium daripada sisa organik serta sisa tidak boleh dikitar semula.
“Ia sekali gus membantu mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan, di samping membuka peluang pekerjaan setempat,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, kebersihan Sungai Klang adalah tanggungjawab bersama dan kejayaan projek ini membuktikan keupayaan pelbagai pihak untuk bekerjasama dengan matlamat yang sama.
Projek ini turut menerima sokongan teknikal daripada CNH Industrial dan Orca Cika Malaysia, yang berperanan dalam memproses semula bahan yang dikutip menjadi produk alternatif seperti bahan binaan, granul dan pelet.
Pengarah Rivers The Ocean Cleanup, Marco Piët pula berkata, pelancaran kemudahan ini memperkukuh misi global organisasi tersebut untuk menghapuskan 90 peratus pencemaran plastik terapung di lautan menjelang akhir dekad ini.
Setakat ini, Interceptor 002 dan 005 yang beroperasi di Sungai Klang telah berjaya mengeluarkan hampir 3,000 tan sisa daripada sungai yang mengalir melalui kawasan perindustrian di ibu negara.
“Inisiatif ini bukan sahaja menambah baik pengurusan sisa, tetapi juga menjadi batu loncatan untuk meluaskan penggunaan Interceptor melalui program ‘30 Cities’ di bandar utama Asia dan Amerika,” jelasnya.
Kerjasama awam dan swasta ini menjadi sebahagian daripada program pembersihan menyeluruh Sungai Klang dan satu contoh terbaik bagaimana pelbagai pihak boleh berganding bahu dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan negara.