sukan@hmetro.com.my
Seremban: “Walaupun berstatus pemain muda, saya berharap mendapat minit permainan yang lebih baik bagi musim 2025/2026,” kata penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.
Penjaga gawang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu mengakui terpaksa bersaing dengan Muhd Azri Ghani dan Mohd Aqil Abd Razak untuk menduduki posisi berkenaan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/2026.
Pemain berusia 22 tahun itu nyata bersemangat tinggi untuk terus memberikan sumbangan terbaik kepada skuad Hobin Jang Hobin selepas mula bersama pasukan pada musim lalu.
“Ini musim kedua saya bersama Negeri Sembilan dan sasaran kali ini mahu memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan serta dapat membuktikan kemampuan kepada ketua jurulatih, Nidzam Jamil.
“Saya bersyukur kerana dikelilingi pemain berpengalaman dan memiliki reputasi tinggi seperti Azri Ghani, banyak benda yang saya boleh belajar daripada beliau untuk tingkatkan lagi prestasi.
“Saya yakin kehadiran pemain berpengalaman dan bereputasi tinggi seperti Azri, Luqman Hakim (Shamsudin), Hakimi Abdullah serta beberapa pemain lain, bakal memberi impak positif kepada pencapaian pasukan musim 2025/2026,” kata Syahmi Adib.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus berkata, penjaga gol berbakat itu dikekalkan bersama NSFC apabila dipinjamkan oleh Selangor FC bagi menghadapi kempen musim 2025/2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd