Reman 3 suspek bunuh penuntut universiti di Cyberjaya mungkin dilanjutkan

Reman 3 suspek bunuh penuntut universiti di Cyberjaya mungkin dilanjutkan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga daripada empast suspek kes pembunuhan penuntut universiti swasta di Cyberjaya, 24 Jun lalu berkemungkinan disambung reman.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga mereka akan dibawa ke Mahkamah Sepang esok untuk permohonan lanjutan tempoh reman itu.

Mereka sebelum ini direman tujuh hari bermula 27 Jun hingga esok.

Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, dengan penahanan empat individu termasuk suspek utama iaitu teman lelaki kepada rakan serumah mangsa, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, reman semua suspek berakhir pada esok dan Jumaat dengan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita akan sambung reman kesemua suspek selepas tempoh reman habis,” kata Hussein.

Tiga suspek termasuk suspek utama ditahan sehari selepas kejadian, manakala seorang lagi suspek ditahan dua hari kemudian.

Beliau dilapor berkata, rakan kepada suspek utama yang turut ditahan adalah individu yang bersama lelaki itu ketika menggunakan kad ATM milik mangsa.

Hussein turut memaklumkan empat lagi rakan serumah mangsa akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, Maniishapriet Kaur, 20, yang berasal dari Sarawak ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan, pada 10 pagi 24 Jun lalu.

Mangsa dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top