Petronas Gas berdepan impak kewangan RM60 juta akibat insiden Putra Heights

Petronas Gas berdepan impak kewangan RM60 juta akibat insiden Putra Heights

PETRONAS Gas Berhad (PGB) dijangka berdepan impak kewangan sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan 2025 susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Penganalisis CIMB Securities, Foong Choong Chen berkata, PGB menganggarkan kos kerja-kerja pembaikan dan pemulihan aset berjumlah kira-kira RM170 juta menjelang akhir Mei 2025.

“Sebahagian besar jumlah itu dijangka diperuntukkan sebagai perbelanjaan modal, manakala selebihnya dijangka dapat diperoleh semula melalui tuntutan insurans sekitar RM50 juta.

“Kerugian pendapatan akibat gangguan perkhidmatan pula diunjurkan sekitar RM20 juta berdasarkan hasil kerjasama pihak berkuasa kawal selia, pengangkut gas dan pengedar yang membolehkan pemulihan segera perkhidmatan saluran paip serta penstabilan bekalan,” katanya dalam satu nota penyelidikan pada Rabu.

Tambahnya, PGB turut menganggarkan kesan pendapatan berjumlah RM60 juta bagi tahun kewangan 2025 yang sebahagian besarnya akan diiktiraf dalam keputusan suku kedua dan ketiga tahun tersebut.

“Anggaran Petronas Gas ini tidak mengambil kira kemungkinan penalti kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga atau liabiliti kepada pihak ketiga.

“Meskipun risiko itu belum dapat disangkal sepenuhnya, tahap kemungkinannya dilihat rendah memandangkan siasatan mendapati punca utama insiden adalah berkaitan keadaan tanah yang tidak stabil,” jelasnya.

Choong Chen berkata, siasatan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati insiden kebakaran di Putra Heights pada 1 April lalu berpunca daripada kegagalan saluran paip akibat keadaan tanah tidak stabil di bawah paip milik PGB.

“JKKP turut menjelaskan bahawa saluran paip tersebut memenuhi spesifikasi teknikal dan bahawa kegagalan itu bukan berpunca daripada aktiviti di permukaan tanah.

“Selain itu, siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan insiden tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menjelaskan pasukan teknikal mendapati saluran paip itu terkesan akibat mendapan tanah sebanyak 24.3 sentimeter (sm) sepanjang tempoh 25 tahun lalu.

“Keadaan itu membawa kepada peralihan saluran paip sejauh 15.9 sm. Kejadian ini dikaitkan dengan beberapa faktor alam sekitar termasuk tanah yang tidak stabil serta takungan air bawah tanah yang berpanjangan.

“Faktor lain termasuk sistem perparitan dan saluran monsun yang terjejas, tekanan berkaitan iklim serta pembangunan bandar yang padat,” katanya.

Scroll to Top