hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menyiasat insiden warga asing yang ditemui cedera parah di kepala dan di badan di kawasan parkir bertingkat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pada 8.56 malam Ahad daripada kakitangan HKL.
“Laporan memaklumkan seorang pesakit lelaki bukan warganegara dibawa ke Jabatan Kecemasan HKL oleh ambulans pada 5.20 petang.
“Mangsa dibawa dari lokasi kejadian di parkir bertingkat HKL dan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan patah tulang rusuk kanan, namun tiada keretakan pada tempurung kepala dikesan.
“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dengan senjata dan masih tiada tangkapan dibuat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau identiti mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Insp Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Rosdi M Husin di talian 013-3920694,” katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 41 saat menunjukkan seorang lelaki warga asing berdiri di sebelah kereta dan mengalami kecederaan di kepala di kawasan parkir bertingkat HKL, lelaki berkenaan kemudian terjatuh sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan paramedik.
© New Straits Times Press (M) Bhd