Serbu pusat cuci kenderaan, 147 PATI, 3 warga tempatan ditahan

Serbu pusat cuci kenderaan, 147 PATI, 3 warga tempatan ditahan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seramai 147 lelaki warga asing serta pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga lelaki warga tempatan ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah ke atas pusat cuci kenderaan di sekitar bandaraya ini, Iskandar Puteri dan Kulai, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata sebanyak 64 pusat cuci kenderaan di kawasan berkenaan diperiksa dalam operasi bersepadu besar-besaran itu yang dilaksanakan secara serentak di seluruh kawasan terbabit.

Katanya, seramai 150 suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 57 tahun, atas pelbagai kesalahan.

“Operasi Bersepadu Cegah Jenayah ke atas pusat cuci kenderaan dilancarkan oleh Polis Johor semalam bersama agensi penguat kuasa membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Kulai (MPK) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ).

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk langgar syarat permit, tiada dokumen perjalanan, judi atas talian, dadah selain perniagaan tanpa lesen, menyambung air secara haram dan gagal pamer tanda harga.

“Sitaan peralatan cuci kereta turut dilakukan pihak berkuasa tempatan(PBT) di bawah Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Operasi ini telah berjaya mencapai objektif dalam memastikan pematuhan undang-undang oleh pemilik pusat cuci kenderaan serta membanteras pembabitan PATI dan elemen jenayah yang lain,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana langgar syarat pas/permit; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana permit tamat tempoh.

“Siasatan turut dilakukan atas kesalahan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 Kesalahan kerana judi atas talian dan

Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.

Beliau berkata, selain penahanan, pelbagai tindakan kompaun dan sitaan turut diambil oleh agensi penguat kuasa terbabit ke atas 64 pusat cuci kenderaan berkenaan.

“Ia termasuk kompaun Seksyen 89(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 atas kesalahan menyambung air secara haram serta kompaun SSM atas kesalahan gagal pamer papan tanda, lesen tamat tempoh dan gagal catat nama perakuan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1956;

“Premis cuci kenderaan terbabit turut dikompaun KPDN atas kesalahan gagal pamerkan tag harga di bawah Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 serta kompaun PBT, atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Polis Johor komited untuk meneruskan kerjasama strategik bersama semua agensi penguat kuasa dalam usaha menjaga kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat Johor selain memastikan semua premis perniagaan tidak dijadikan sarang jenayah dan PATI,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top