Kuala Lumpur: Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan) sehingga jawatan itu diisi.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Seksyen 9(1) (b) dan Seksyen 9 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
“Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.
Hasnah yang bersara wajib pada usia 66 pada 15 Mei lalu disambung perkhidmatannya selama enam bulan hingga 14 November ini.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang juga wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu bersara wajib pada semalam.
Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa pada 2 Mei 2019 bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.
© New Straits Times Press (M) Bhd