3 suspek bunuh penuntut Cyberjaya disambung reman tujuh hari

3 suspek bunuh penuntut Cyberjaya disambung reman tujuh hari

harisfadli@hmetro.com.my

Sepang: Tiga suspek termasuk suspek utama kes pembunuhan seorang penuntut wanita di Cyberjaya, di sini 24 Jun lalu disambung reman tujuh hari bermula hari ini.

Ketiga-tiga suspek terbabit dilihat tiba dengan berpakaian lokap dan bergari ke Mahkamah Majistret Sepang, di sini kira-kira 8.40 pagi hari ini menaiki kenderaan polis.

Permohonan reman itu dibenarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani bermula hari ini hingga 10 Julai.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang wanita yang juga penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, ditemui mati dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya.

Wanita berusia 20 tahun berasal dari Kuching, Sarawak itu ditemui dengan kesan kecederaan pada anggota badan oleh rakannya kira-kira jam 10 pagi, pada 24 Jun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, suspek utama yang dipercayai pernah beberapa kali bermalam bersama kekasihnya di rumah berkenaan.

Berdasarkan siasatan, rakan serumah mangsa yang juga kekasih suspek utama menyerahkan kad akses dan kunci rumah berkenaan kepada lelaki terbabit untuk tinggal di kondominium itu sebelum kejadian.

Pada 27 Jun media melaporkan, tiga suspek kes pembunuhan di Cyberjaya, direman tujuh hari sehingga 3 Julai.

Tiga suspek terdiri dari seorang lelaki dan dua perempuan yang bergari tiba di Mahkamah Sepang pada 8.30 pagi, dan dikawal oleh anggota polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top