5 sekeluarga didakwa culik kanak-kanak dibenar diikat jamin RM15,000 setiap seorang

5 sekeluarga didakwa culik kanak-kanak dibenar diikat jamin RM15,000 setiap seorang

am@hmetro.com.my

Seremban: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, membenarkan permohonan jaminan lima sekeluarga yang didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di daerah ini, April lalu.

Peguam, T Harpal Singh yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datin Surita Budin, selepas menerima keputusan semakan berhubung jaminan yang difailkan untuk anak guamnya di Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen pada 14 Mei lalu menolak permohonan jaminan lima tertuduh iaitu D Sasveena, 31, T Boharaj, 32, Farhin Muhamad Ariffin, 23, dan dua beradik, P K Koshenn Kumar, 21, serta P K Siveeshinaa, 23.

Harpal Singh berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan setiap tertuduh dijamin RM15,000 dengan dua orang penjamin dalam kalangan ahli keluarga, termasuk lima syarat tambahan.

Menurutnya, antara syarat yang dikenakan adalah tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni berkata, pihaknya sudah menyerahkan semua dokumen kepada pihak pembelaan kecuali laporan forensik CCTV, laporan telefon bimbit tertuduh dan laporan perubatan mangsa.

Mengikut pertuduhan, lima tertuduh dengan niat bersama menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikannya bagi tujuan menuntut wang tebusan RM2 juta.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah salun rambut di Jalan S2 B10, Uptown Avenue Seremban 2, 5.45 petang, 10 April lalu.

Kesemuanya dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 30 tahun dan dengan sebatan.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 5 Ogos ini.

Sebelum ini, media pada 14 April lalu melaporkan, polis menembak mati seorang lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor dipercayai terbabit dengan kes penculikan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top