Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) hari ini selepas gagal membayar pinjaman berjumlah RM5.28 juta kepada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan Cekap Air Sdn Bhd pada 20 November tahun lalu.
Dalam petisyen berkenaan, Jovian selaku penghutang penghakiman didakwa gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2023, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967.
Jovian Mandagie diisytihar bankrap
Jumlah hutang termasuk faedah itu berpunca daripada penghakiman terus Mahkamah Tinggi pada 2 April 2023 yang memerintahkan Jovian membayar semula RM5 juta kepada Cekap Air.
Syarikat terbabit memfailkan saman selepas mendakwa Jovian gagal melunaskan pinjaman yang diberikan atas dasar kepercayaan.
Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu menjelaskan wang dipinjamkan pada 25 Februari 2022 melalui pemindahan ke akaun firma guaman yang mewakili Jovian, berdasarkan permintaan lisan antara pereka fesyen itu dan pengarah syarikat, Yong Zhen Wei.
Peguam Cekap Air, Siti Nur Athirazatti Rohizad, memaklumkan mahkamah bahawa semua permohonan oleh pihak Jovian untuk membatalkan dan menggantung petisyen tersebut telah ditolak.
“Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan, tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Artikel lain: Jovian Mandagie diarah bayar RM10 juta, gagal membayar dua pinjaman persahabatan
Sebelum ini, Jovian yang juga bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memohon agar notis kebankrapan dibatalkan namun tidak berjaya.
Rayuan terhadap keputusan penghakiman terus itu dijadualkan didengar pada 15 September ini.
Sumber: BH Online (Ahmad Johari Mohd Ali )