ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Cheah Soon Kit menyimpan harapan besar untuk melihat perlawanan final beregu lelaki sesama Malaysia di Kejohanan Dunia di Paris, bulan depan.
Bekas ketua jurulatih beregu lelaki negara itu yakin impian itu bukan sesuatu yang mustahil dengan melihat prestasi semasa dua gandingan utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang kini menghuni ranking pertama dan kedua dunia.
“Saya harap kedua-dua beregu ini dapat mara ke final. Kalau jadi kenyataan, pingat emas dan perak pasti milik Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan pelancaran filem ‘Sentuhan Wira’ di ibu negara, semalam.
Soon Kit turut gembira dengan perkembangan positif beregu lelaki negara yang disifatkan jarang berlaku terutama apabila dua pasangan berada dalam kelompok lima terbaik dunia pada masa yang sama.
Namun, katanya, kedudukan di puncak dunia hadir bersama tekanan tinggi kerana semua pihak akan cuba baca dan bongkar strategi mereka.
“Bila duduk di atas, semua nak jatuhkan kita. Pemain kena kerja lebih keras, jaga semangat, disiplin dan komitmen.
“Kalau tidak, sukar untuk kekalkan prestasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh peluang untuk Malaysia membawa dua wakil beregu lelaki ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sesuatu yang diyakininya boleh dicapai jika pemain kekal cergas dan bebas daripada kecederaan.
“Kalau tak jaga kecergasan dan rehat, memang susah nak kekal lama.
“Umur pun kena ambil kira bila nak hadapi kejohanan besar,” katanya.
Kali terakhir Malaysia tampil dengan dua wakil beregu lelaki di Sukan Olimpik adalah pada Beijing 2008 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
Sementara itu, filem ‘Sentuhan Wira’ bakal memulakan penggambaran November ini, mengangkat semula detik penuh bersejarah skuad negara menjulang Piala Thomas 1992.
Filem arahan Lenny Ooi itu adalah cetusan idea Soon Kit dan Datuk Rashid Sidek, yang turut bertindak sebagai penasihat teknikal dan terbabit dalam pembangunan skrip demi memastikan kisah kemenangan itu ditampilkan dengan penuh emosi dan keaslian.
© New Straits Times Press (M) Bhd