Budak lelaki cedera digigit anjing

Budak lelaki cedera digigit anjing

hafidzul@hmetro.com.my

Serdang: Kanak-kanak berusia tiga tahun cedera di betis kiri selepas digigit seekor anjing ketika berjalan pulang ke rumah selepas bermain di taman permainan di Lake Edge Puchong di sini bersama neneknya pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam kejadian 8 pagi itu mangsa bersama neneknya secara tiba-tiba diserang seekor anjing jenis kacukan German Shepard yang keluar sendiri dari rumah pemiliknya.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan serius di bahagian betis kiri akibat gigitan anjing berkenaan.

“Berikutan kejadian berkenaan seorang wanita berusia 60 tahun yang juga pemilik anjing hari ini dipanggil bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati wanita itu tidak memiliki lesen anjing yang sah daripada pihak berkuasa tempatan ,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan atas kesalahan kecuaian berkaitan haiwan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis menyeru semua pemilik haiwan peliharaan supaya memastikan haiwan mereka dijaga rapi dan tidak mengancam keselamatan awam.

“IPD Serdang turut menggesa orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top