PENYERANG Liverpool dan Portugal, Diogo Jota, meninggal dunia pada usia 28 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya tragis di Sepanyol.
Pemain prolifik itu meninggalkan impak besar sepanjang kariernya di Anfield dan bersama skuad Portugal.
Jota menyertai Liverpool pada September 2020 menerusi perpindahan bernilai £45 juta pound dari Wolverhampton Wanderers, selepas membantu skuad kendalian Nuno Espirito Santo kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Ketajaman penyudah dan ketenangannya di depan gol menjadikannya antara penyerang paling dipercayai Jurgen Klopp, dan kemudiannya Arne Slot.
Malah, ramai berpendapat beliau merupakan penjaring paling semula jadi Liverpool, meskipun bersaing rapat dengan ikon kelab, Mohamed Salah.
Ketika mengumumkan penyertaan Jota ke Liverpool, Klopp menyifatkan beliau sebagai pemain serba boleh dan berpotensi besar: “Dia masih muda, hanya 23 tahun dan jauh lagi untuk mencapai kemuncak prestasi.
“Dia laju, bijak berinteraksi dengan rakan sepasukan, rajin bertahan dan boleh menekan lawan. Dia memberi kami banyak pilihan dalam pelbagai sistem.”
SUMBANGAN JOTA TIDAK TERNILAI
Beliau antara tonggak kejayaan Liverpool merangkul dua kejuaraan domestik Piala FA dan Piala Liga pada 2022.
Meski dihimpit kecederaan musim lalu, beliau tetap mencuri tumpuan dengan aksi penting, termasuk gol penyamaan menentang Nottingham Forest dan gol kemenangan derby Merseyside menentang Everton.
Gol ke atas Everton memperlihatkan segala kelebihan Jota kawalan pertama yang kemas, kelicikan di ruang sempit dan penyudah tajam yang menewaskan Jordan Pickford di hadapan The Kop. Ia menjadi antara detik yang kekal dalam ingatan penyokong Liverpool.
Meski mengalami kecederaan tulang rusuk awal musim lalu ketika menentang Chelsea, Jota kembali dengan ketajaman yang tidak pudar sentiasa berada di posisi tepat, pada waktu yang tepat.
Walaupun Salah sering menjadi tumpuan utama, gol Jota sering hadir pada saat penting dan beliau sentiasa menjadi ancaman utama barisan pertahanan lawan.
DARI GONDOMAR KE ANFIELD
Jota memulakan karier di kelab tempatan Gondomar sebelum menyertai Pacos de Ferreira pada usia 16 tahun. Namun, setahun kemudian, impian itu hampir terkubur apabila ujian kesihatan pra-musim mengesan masalah jantung.
“Saya tahu ia boleh menyebabkan saya berhenti bermain bola, tetapi saya langsung tidak mempercayainya,” katanya dalam wawancara 2021.
Beliau terpaksa berehat sepanjang pra-musim dan awal kempen 2014/15, sebelum mendapat lampu hijau untuk kembali.
Keazaman luar biasa terbukti apabila Jota sendiri meminta pegawai pembangunan remaja di Pacos membantu beliau mempelajari bahasa asing kerana pada usia 17 tahun, beliau sudah menyimpan cita-cita untuk beraksi di luar negara.
Peluang itu hadir pada 2016 apabila beliau menyertai Atletico Madrid, namun dipinjamkan segera ke Porto FC, di mana adiknya, André Silva (yang turut maut dalam kemalangan sama), bermain bersama skuad remaja kelab berkenaan.
Karier Jota mula menyerlah di England selepas menyertai Wolverhampton Wanderers secara pinjaman pada 2017.
Perpindahan itu kemudiannya dijadikan tetap, dengan Jota meledak 44 gol dalam 131 penampilan – termasuk 18 gol dalam musim 2017/18 yang menyaksikan Wolves muncul juara Championship dan kembali ke Liga Perdana Inggeris
LEGENDA LIVERPOOL MODEN DIRINDUI
Di Liverpool, musim terbaiknya adalah pada 2021/22 dengan 21 gol dalam 55 perlawanan sebahagian daripada koleksi 65 gol dalam 182 aksi keseluruhan.
Sikap profesional, semangat juang tinggi dan keperibadiannya yang disenangi menjadikan Jota disayangi rakan sepasukan dan penyokong The Reds.
Di bawah Arne Slot musim lalu, beliau sering diberi kepercayaan mengisi posisi penyerang utama berbanding Darwin Nunez ketika Liverpool meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20.
Di peringkat antarabangsa, Jota juga menyinar bersama Portugal apabila menjadi sebahagian skuad yang menjuarai Liga Negara-Negara termasuk perlawanan akhir menentang Sepanyol yang berakhir dengan kemenangan menerusi penentuan penalti kini menjadi penampilan terakhirnya untuk negara.
Pemergian Jota meninggalkan kekosongan besar buat dunia bola sepak. Seorang penyerang berkelas dunia, yang kariernya terhenti sekelip mata ketika berada di puncak.