Malaysia raih potensi pelaburan RM8.13 bilion hasil lawatan Anwar ke Itali

Malaysia raih potensi pelaburan RM8.13 bilion hasil lawatan Anwar ke Itali

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Negara berjaya meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 bilion dalam beberapa sektor termasuk petrokimia, jentera dan peralatan melalui mesyuarat dua hala yang diadakan antara Malaysia dan Itali, sempena kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu.

Perdana Menteri berkata, potensi pelaburan itu turut berjaya diraih melalui sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas.

Beliau berkata, potensi eksport yang dijana pula adalah berjumlah RM425 juta bagi produk oleokimia, suapan biobahan api, aditif makanan ternakan dan makanan.

Mesyuarat dua hala itu membabitkan 41 syarikat daripada Itali, dengan 23 daripadanya adalah syarikat sektor pembuatan, sembilan perkhidmatan, dua perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.

“Satu perkembangan menarik ialah kerana hasrat Itali untuk meningkatkan hubungan dua hala, juga Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN dengan melihat potensi ASEAN sebagai penggerak utama dalam kegiatan rantau serta ekonomi.

“Seperti mana kita sedia maklum, beberapa persetujuan kerangka dalam merancakkan kegiatan ekonomi dicapai… ada projek bersama antara PETRONAS dan syarikat Eropah berpangkalan di Itali yang mempunyai kekuatan dari segi biokimia dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) iaitu ENI.

“Termeterai perjanjian antara mereka dan sekarang kita nampak ada syarikat Jepun dan Indonesia, Pertamina mahu bersama.

“Sebaik sahaja dilancarkan nanti, ia adalah antara projek terbesar di rantai ini yang membabitkan CCUS dan biokimia,” katanya pada sidang media sempena lawatan di Itali.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Lawatan berakhir hari ini itu adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kerjasama antara PERODUA dan syarikat Itali, Magna Styer membabitkan bateri kenderaan elektrik (EV) juga dijangka dimeterai selewat-lewatnya, Disember ini, sekali gus menunjukkan kecenderungan syarikat daripada republik itu yang yakin dengan syarikat negara ini.

Selain itu katanya, kerjasama dan pelaburan grid elektrik antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa syarikat termasuk APG dengan tumpuan jana kuasa dari Vietnam ke negara ini melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor ke Singapura yang mencapai maksud kerjasama ASEAN.

Perdana Menteri berkata, selain itu, dalam perbincangan awal bersama Timbalan Perdana Menteri Itali, bukan sahaja menyentuh soal pelaburan, perdagangan dan kerjasama antara EU dan ASEAN selain soal Gaza dan Iran.

Katanya, dalam pertemuan itu, Malaysia menegaskan pendirian untuk menjamin keadilan bagi keganasan Israel ke atas Gaza dan pencerobohan terhadap Iran.

“Pemusatan perbincangan kita adalah kedamaian yang boleh menjamin keselamatan rantau. Dalam pertemuan kemuncak dengan Meloni, tentulah kita menegaskan beberapa projek yang sedang dalam perbincangan umpamanya projek besar antara PETRONAS dan ENI.

“Kita tegaskan juga kepada Perdana Menteri Itali pandangan mengenai Gaza dan mengucapkan terima kasih atas persetujuan mereka dalam kenyataan meminta hentikan serangan ke atas Gaza serta beri laluan bantuan kemanusiaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top