PASTIKAN KESAN BERANTAI TERKAWAL

PASTIKAN KESAN BERANTAI TERKAWAL

mahanum_aziz@bh.com.my

Kuala Lumpur

“Kerajaan melaksanakan semakan dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar bagi memastikan kesan berantai daripada pelaksanaannya terkawal, sementara hasil kutipan tambahan yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, berdasarkan peluasan SST yang dibuat sebelum ini, kesan berantai adalah terkawal dan ia dibuktikan dengan kadar inflasi yang rendah dicatatkan pada tahun lalu.

Katanya, kerajaan amat berhati-hati dan berhemah dalam melaksanakannya bagi mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil.

Menurutnya, hasil tambahan yang diperoleh itu juga membolehkan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.

“Pendekatan yang kita buat dalam belanjawan tahun lalu adalah untuk meningkatkan perkhidmatan yang kita ada kepada rakyat.

“Walaupun SST diperluaskan kepada sesetengah barangan dan perkhidmatan, namun ia tidak membabitkan barangan asas yang digunakan rakyat,” katanya pada Audio Siar Keluar Sekejap Episod 161 yang membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju dasar fiskal negara, penyasaran subsidi RON95, peluasan SST serta pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI.

Mengenai kedudukan defisit fiskal negara, Amir Hamzah berkata, paras defisit semakin baik dengan pada tahun lalu mencapai paras 4.1 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2022.

Katanya, apa yang penting untuk negara adalah mempunyai ruang fiskal yang baik.

“Kita sudah nampak banyak penambahbaikan dan kemajuan. Tahun lalu 4.1 peratus, tahun ini kita anggar 3.8 peratus. Justeru, nampak penambahbaikan,” katanya.

Mengulas pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Amir Hamzah berkata, jika cukai itu dilaksanakan sekarang, ia boleh menimbulkan masalah praktikal memandangkan pelaksanaannya akan mengambil masa iaitu kira-kira dua tahun.

Lagipun katanya, banyak syarikat tidak bersedia dengan sistem percukaian itu selepas dimansuhkan pada 2018.

“Tidak pernah kita (kerajaan) kata yang GST itu bukan sistem yang baik, tetapi kita kata sistem itu bukan (sesuai) buat masa sekarang.

“Walaupun dalam opsyen cukai yang kita ada, kita telah fokus kepada mana yang boleh kita buat, yang mana boleh disambut oleh sistem ekonomi yang kita ada sekarang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top