Jejak alamat IP bongkar aktiviti militan warga Bangladesh

Jejak alamat IP bongkar aktiviti militan warga Bangladesh

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan alamat IP akaun Facebook (FB) berkaitan militan membongkar aktiviti penyebaran ideologi Islamic State (IS) dalam kalangan buruh Bangladesh.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mengesan beberapa akaun FB yang aktif menyebarkan propaganda IS di media sosial disyaki dikendalikan warga Bangladesh di Malaysia.

“Cawangan Khas mendapati alamat IP akaun FB terbabit berada di Malaysia dan berdasarkan maklumat, satu operasi dilaksanakan secara berperingkat.

“Pada 28 April, enam individu ditahan sekitar Selangor dan hasil soal siasat mendedahkan kewujudan GMRB (Gerakan Militan Radikal Bangladesh) yang berpangkalan di Johor.

“Susulan itu 14 individu ditahan termasuk ketua kumpulan berkenaan dalam operasi di sekitar Johor pada 7 Mei dan seterusnya 16 lagi ditahan menerusi operasi pada 19 hingga 21 Jun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kumpulan berkenaan menyasarkan komuniti pekerja dalam kalangan warga Bangladesh terutama di sektor perkilangan, pembinaan, dan perkhidmatan.

Katanya, media sosial digunakan bagi mencari pengikut dan sebagai medium menyebarkan ideologi serta propaganda ekstremis dan subversif militan IS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top