mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan wang hasil penggubahan wang haram membabitkan pengarah syarikat bergelar Datuk yang disembunyikan di akaun pesisir pantai luar negara dan Labuan sebelum ia dilaburkan semula ke syarikat pelaburan tidak wujud dan pinjaman wang tidak berlesen.
Menurut sumber, wang pinjaman RM400 juta yang diluluskan bank itu pada 2012 kemudian ada yang disembunyikan akaun pesisir pantai beberapa negara sebelum dilaburkan semula bagi mewujukan syarikat penipuan pelaburan.
“Siasatan awal mendapati, pengarah syarikat terbabit didakwa mewujudkan syarikat penipuan pelaburan dengan mencari mangsa yang ingin melabur termasuk golongan VIP sebelum mereka terpedaya.
“Syarikat pelaburan itu mula diwujudkan sekitar 2018 selepas projek awal berkaitan fiber optik tidak dijalankan menggunakan wang yang diseleweng hasil pinjaman daripada bank terbabit,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Sumber berkata, suspek bukan sahaja mewujudkan syarikat pelaburan tidak wujud itu malah turut menubuhkan syarikat lain yang menawarkan pinjaman wang tidak berlesen.
“Siasatan awal SPRM juga mendapati pengarah syarikat itu turut memberi rasuah RM8 juta kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank terbabit bagi meluluskan pinjaman RM400 juta walaupun syarikatnya itu tidak memenuhi syarat.
“Siasatan kini tertumpu pada tiga skop iaitu membabitkan penggubahan wang haram hasil pinjaman yang tidak dibayar semula, skim pelaburan tidak wujud dan hasilnya disembunyikan di akaun luar pesisir pantai dan menawarkan pinjaman tidak berlesen,” katanya.
Sumber itu berkata, SPRM juga sedang mengesan semula aliran wang terbabit yang ‘dilayaring’ menggunakan proksinya termasuk wang rasuah yang diberikan kepada CEO bank itu.
“Lebih ramai saksi orang awam dan beberapa individu lain akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan,” katanya.
“Suspek pada 2012 dikatakan membuat pinjaman berjumlah RM400 juta untuk sebuah projek pembangunan rangkaian gentian optik yang dikatakan bernilai lebih RM23 bilian.
“Kononnya projek itu bakal menghubungkan Asia Tenggara dengan lebih 30,000 kilometer gentian optik namun sehingga kini projek terbabit tidak berjalan.
“Projek itu dikatakan bermula pada Mei 2012 selepas mendapat kelulusan pinjaman RM400 juta itu bagi membiayai projek gentian optik terbabit namun sebaliknya wang itu dikatakan diseleweng dan tidak digunakan sepenuhnya untuk projek terbabit.
“Bagaimanapun, ia terbongkar selepas pihak bank memfailkan saman sivil ke atas 27 individu termasuk suspek yang ditahan SPRM atas penggubahan wang haram terbabit,” katanya.
Susulan itu, SPRM menahan reman pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 50-an itu kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Perintah reman selama empat hari sehingga 6 Julai ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.
“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Fibre yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK), SPRM.
“Pada 30 Jun 2025, BOK menggeledah empat lokasi berbeza termasuk kediaman dan pejabat suspek di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Melalui operasi yang dijalankan, SPRM membekukan 12 akaun bank termasuk akaun persendirian dan syarikat bernilai kira-kira RM400,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat mengikut kesalahan-kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd