am@hmetro.com.my
Kuantan: Tiga individu kerugian berjumlah RM942,471 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata dalam kes pertama, seorang jururawat berusia 39 tahun diperdaya suspek yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada pertengahan Mac lalu.
Katanya, suspek menawarkan peluang pekerjaan di luar negara kepada mangsa sebelum memujuk untuk melabur dalam skim pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus setiap hari daripada jumlah modal yang dilaburkan.
“Wanita itu kemudian diarahkan untuk membuat pelaburan melalui laman sesawang palsu yang diberikan suspek melalui pautan.
“Antara 24 Mei hingga 29 Jun lalu, mangsa melakukan pemindahan wang secara berperingkat kepada 10 akaun membabitkan jumlah keseluruhan RM634,400.
“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas pautan platform pelaburan itu tidak boleh diakses dan tiada sebarang pulangan diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, kes kedua membabitkan seorang kerani sebuah institusi kewangan berusia 49 tahun mengalami kerugian RM106,071 selepas melihat iklan pelaburan di Facebook pada 12 Jun lalu.
Katanya, wanita itu berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan dimaklumkan akan menerima keuntungan dengan kaedah pembelian barangan jenama seluar .
“Mangsa mula percaya selepas menerima pulangan awal berjumlah RM835 hasil daripada pelaburan berjumlah RM30,563 dan mula menambah pelaburan.
“Bagi tujuan kononnya pembayaran cukai, mangsa diminta untuk membayar sebanyak 18 peratus daripada keuntungan pelaburan RM438,748.
“Tanpa menyedari helah itu, mangsa melakukan 14 transaksi kepada lapan akaun bank sehingga mengalami jumlah kerugian berjumlah RM106,071,” katanya.
Yahaya berkata, kes ketiga pula membabitkan seorang peniaga berusia 67 tahun kerugian RM202,000 selepas menyertai skim pelaburan selepas melihat iklan di Facebook pada Mei lalu.
Katanya, tertarik dengan pulangan keuntungan lumayan, lelaki itu melakukan tujuh transaksi melalui dua akaun secara dalam talian dari 29 Mei hingga 19 Jun lalu.
“Apabila mangsa cuba membuat pengeluaran keuntungan berjumlah RM100,000 yang tertera dalam aplikasi pelaburan iu, mangsa diminta untuk membayar `cukai’ berjumlah RM147,833.
“Berasa sesuatu yang tidak kena, mangsa mengesyaki ditipu sindiket penipuan dan membuat laporan polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




