HIJRAH dalam konteks semasa bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain, tetapi lebih kepada hijrah perjalanan spiritual dan transformasi diri ke arah yang lebih baik.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Makkah, tetapi (masih ada) jihad dan niat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Mengulas mengenai hadis ini, pendakwah terkemuka, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menjelaskan, apa yang dimaksudkan dengan jihad itu ialah jihad melawan musuh-musuh Islam.
“Kalau ditakdirkan suatu hari nanti pemimpin Islam menyeru untuk keluar berjihad, maka kita wajib untuk mematuhi perintahnya.

“Andai kata suatu hari nanti ditakdirkan Imam Mahdi muncul dan kita masih lagi hidup, akan berlaku beberapa siri peperangan besar di dunia ini,” jelasnya ketika menyampaikan ceramah khas sempena Maal Hijrah 1447H di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun ujarnya, masa untuk bersama Imam Mahdi tersebut belum tiba dan jihad yang ada buat masa sekarang ialah jihad untuk melawan syaitan dan nafsu.
“Dua perkara ini iaitu syaitan dan nafsu ada dengan kita. Jadi setiap hari kita kena berjihad untuk melawan kedua-duanya.
“Syaitan tidak boleh memegang tangan kita untuk mengajak kita melakukan maksiat. Begitu juga nafsu. Apa yang ia boleh lakukan adalah berbisik kepada kita,” katanya.
Syaitan merancang, nafsu merengek
Tambah pendakwah itu, untuk berjihad melawan musuh iaitu syaitan dan nafsu tersebut, umat Islam perlu mengenali kedua-duanya. Sekurang-kurangnya kita perlu mengenali kaedah kedua-duanya memusnahkan manusia, ujarnya.
“Kaedah syaitan menggoda manusia adalah dengan membuat perancangan agar kita semakin lalai dalam melakukan ibadah.
“Sebagai contoh, kita sudah bangun pukul 5.30 pagi agar dapat melakukan persiapan untuk solat berjemaah di masjid. “Namun syaitan membisikkan kepada kita: ‘Masih awal lagi. Boleh tidur lagi lima minit’. Kita pun terdengar bisikan tersebut dan akhirnya Subuh entah ke mana, sedar-sedar sudah pukul 8 pagi,” jelasnya panjang.
Berbeza dengan nafsu, ujarnya, nafsu bersifat merengek seperti kanak-kanak sehinggalah kita berusaha mendapatkan apa yang ia mahukan.

“Sebagai contoh, golongan wanita yang melalui kedai beg tangan. Dia cakap nak masuk tengok sahaja namun apabila keluar, dua beg tangan dibelinya.
“Sifat nafsu ini ia fokus untuk dapatkannya, tak kira bagaimana, ia mesti dapat. Itulah nafsu. Jika syaitan dan nafsu berbisik, maka di sanalah iman diuji untuk melawan kedua-duanya,” hurainya lagi.
Perbetulkan niat dalam jihad
Bagaimanapun ujar Ustaz Jafri lagi, jihad untuk melawan nafsu dan syaitan tidak lengkap tanpa elemen kedua seperti dijelaskan Nabi Muhammad SAW iaitu niat yang betul.
Beliau kemudian membawakan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-NYA maka hijrahnya kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatkan atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh sebab itu katanya, untuk melawan syaitan dan nafsu memerlukan niat yang betul kerana ALLAH kerana pada akhirnya barulah ia menjadi kebaikan kepada pelakunya.
“Sebagai contoh, kita dah berusaha untuk melawan syaitan dan nafsu, namun apabila niat tidak betul dan diniatkan pula untuk menunjuk kepada orang lain atau riak, maka tiada pahalanya juga di sisi ALLAH perbuatan tersebut.
“Maka, jihad melawan syaitan dan nafsu perlu seiring dengan niat yang betul kerana ALLAH,” jelasnya.
Sebelum menutupkan kalamnya, Ustaz Jafri sekali lagi mengingatkan umat Islam bahawa hijrah memerlukan pengorbanan yang besar sehingga ke akhir hayat, namun ia sangat indah di sisi ALLAH SWT.

3 bentuk hijrah hari ini:
1) Hijrah akhlak
Belajar untuk berubah daripada perangai buruk kepada perangai baik. Fikir dahulu kesan percakapan dan tindakan kita kepada orang lain.
2) Hijrah hati
Hijrah hati daripada riak, cinta dunia, keinginan-keinginan hawa nafsu kepada bersikap zuhud, ikhlas dan sebagainya.
3) Hijrah sosial, hijrah masyarakat atau hijrah muamalah
Belajar untuk memaafkan dan belajar untuk tidak menyakitkan hati orang lain. Ada orang buat salah kepada kita, belajar untuk memaafkan agar kita dapat hidup dengan tenang.
Tanda ALLAH ampunkan dosa selepas berhijrah:
1 – Berkata perkara yang baik dan tidak bercakap hal merepek serta tidak berfaedah.
2 – Hilang hasad dengki dalam hati, tiada perasaan benci kepada orang lain.
3 – ALLAH kurniakan kawan-kawan yang baik dan dijauhi rakan-rakan yang jahat.
4 – Banyak mengingati mati dan istighfar dengan dosa-dosa lalu.