
JDT dan Selangor FC, bakal berdepan cabaran berbeza selepas undian peringkat kumpulan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26 yang berlangsung pada Jumaat.
DUA kelab gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, bakal berdepan cabaran berbeza selepas undian peringkat kumpulan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26 yang berlangsung pada Jumaat.
Juara Liga Super, JDT kendalian Xisco Muñoz diramal berdepan laluan mudah dalam Kumpulan B apabila diundi bersama wakil Thailand, Bangkok United FC.
Turut melengkapkan kumpulan itu ialah Nam Dinh FC (Vietnam), Lion City Sailors FC (Singapura), dan PKR Svay Rieng FC (Kemboja), selain pemenang perlawanan play-off dua antara Ezra FC (Laos) dan Shan United FC (Myanmar).
Sementara itu, Selangor FC di bawah kendalian jurulatih dari Jepun, Katsuhito Kinoshi, berdepan cabaran getir dalam Kumpulan A yang menampilkan dua wakil kuat dari Thailand, Buriram United dan BG Pathum United FC.
Selain itu, Gergasi Merah turut akan menentang Cong An Ha Noi FC (Vietnam), Tampines Rovers FC (Singapura), serta pemenang perlawanan play-off satu antara Kasuka FC (Brunei) dan Dynamic Herb Cebu FC (Filipina).
Untuk rekod, dua wakil negara musim lalu, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC, gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.
Kejohanan yang menghimpunkan kelab-kelab terbaik dari Asia Tenggara itu dijadual membuka tirai pada penghujung Ogos, manakala aksi separuh akhir dan final akan berlangsung pada Mei 2026.