Sam jatuh cinta dengan Kuala Terengganu ketika lawan TFC

Sam jatuh cinta dengan Kuala Terengganu ketika lawan TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Penyerang import baharu Terengganu FC (TFC), Junior Ngong Sam menyatakan keinginannya untuk beraksi bersama skuad Penyu itu mula berputik ketika menentang pasukan itu pada saingan Piala AFC, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, impian itu terpaksa disembunyikan terlebih dahulu kerana ketika itu TFC adalah ‘musuh’ pasukannya, Stallion Laguna FC dari Filipina.

Namun jelas pemain kelahiran Cameroon itu, tawaran daripada ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali bagaikan sudah mengetahui isi hatinya yang lantas menyahut panggilan itu biarpun pada masa sama ada beberapa lagi kelab luar negara berminat mahukan khidmatnya.

“Kali pertama saya datang ke Terengganu pada 2023, saya rasa seperti berada di rumah sendiri, malah cara kelab TFC ini diurus turut menarik minat saya untuk berhijrah ke sini.

“Pada masa sama kemudahan yang ada di sini dan ditambah semangat penyokong fanatik skuad TFC ini membuatkan saya ‘jatuh hati’ untuk meneruskan karier di Terengganu.

“Apabila tawaran daripada pengurusan TFC, saya tidak berfikir dua kali selain bagaikan mereka sudah mengetahui isi hati saya minat beraksi di Terengganu walaupun ada beberapa kelab Filipina dan luar negara menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmat saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertamanya di Pusat Latihan TFC, Gong Badak, petang semalam.

Ketika ditanya impiannya bersama TFC pada musim pertama dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), pemain berusia 27 tahun itu berhasrat membawa pasukan itu bermain dalam kancah Piala AFC sebagaimana musim sebelum ini.

Pada masa sama, pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Sam’ itu mahu mengintai peluang untuk memburu kejuaraan dalam saingan Liga M biarpun mengakui ia agak berliku dan sukar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top