Serasi bina sakinah

Serasi bina sakinah

HARAPAN daripada pasangan yang mengikat tali perkahwinan adalah untuk kekal bahagia hingga ke syurga.

Namun, harapan tinggal harapan jika rumah tangga yang dibina dilanda badai akibat tiada kesefahaman kerana kedudukan yang tidak setaraf.

Bayangkan juga jika sebuah kapal yang belayar di lautan luas, mengharungi ombak yang tidak menentu. Jika nakhoda dan anak kapalnya tidak mempunyai hala tuju sama, kapal itu mungkin tersasar atau karam sama seperti sebuah perkahwinan tanpa hala tuju yang jelas.

Begitu juga dalam perkahwinan tanpa keserasian dan persefahaman, rumah tangga boleh berdepan gelombang ujian yang sukar dikawal.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sekufu bermaksud ‘setaraf, sedarjat, sama martabatnya.’ Dalam Islam, sekufu atau kafa’ah merujuk kepada kesepadanan antara pasangan daripada sudut agama, akhlak dan kedudukan sosial bagi memastikan keharmonian rumah tangga.

Mengapa sekufu penting dalam perkahwinan?

Lihat di sekeliling kita, ada pasangan yang kelihatan bahagia kerana mereka memiliki keserasian dalam beberapa aspek penting, tetapi ada juga yang bergelut dengan perbezaan yang sukar mencari titik persamaan.

Namun, ada juga yang menghadapi cabaran besar kerana jurang yang terlalu luas daripada segi latar belakang, nilai hidup dan pemikiran.

Rasulullah SAW bersabda: “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu beruntung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa agama adalah aspek utama dalam pemilihan pasangan, tetapi faktor lain seperti keserasian sosial dan ekonomi juga tidak boleh dipandang remeh.

Bagaimana Islam melihat konsep sekufu?

Salah satu contoh dalam sejarah Islam yang menunjukkan perbincangan mengenai konsep sekufu adalah perkahwinan antara Zainab binti Jahsy dan Zaid bin Harithah.

Zainab berasal daripada keturunan Quraisy yang mulia, manakala Zaid ialah bekas hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW.

Perkahwinan mereka adalah bukti bahawa Islam menekankan nilai akhlak dan ketakwaan sebagai faktor utama dalam hubungan, namun faktor sosial dan penerimaan masyarakat juga boleh memberi kesan kepada perjalanan sebuah perkahwinan.

Dalam kes Zainab dan Zaid, perbezaan status sosial yang ketara menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi perkahwinan mereka.

Ini menunjukkan bahawa walaupun agama dan akhlak menjadi keutamaan dalam Islam, faktor sosial dan budaya tetap boleh memainkan peranan dalam kestabilan rumah tangga, terutama dalam konteks penerimaan pasangan oleh masyarakat dan keluarga.

Keserasian dalam akhlak dan nilai agama tetap menjadi keutamaan dalam membina hubungan yang harmoni.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kafa’ah dalam Islam membabitkan beberapa aspek utama. Konsep ini tidak hanya membincangkan keserasian dari segi kedudukan sosial semata-mata, tetapi lebih kepada faktor agama dan akhlak yang menjadi asas kebahagiaan rumah tangga.

  • Agama dan akhlak

    Pasangan yang memiliki pegangan agama dan akhlak yang baik lebih mudah membina rumah tangga yang sejahtera dan penuh keberkatan.

  • Kekayaan dan pekerjaan

    Keseimbangan dari segi ekonomi membantu kestabilan rumah tangga. Walaupun rezeki datang dari Allah, perancangan kewangan yang baik amat digalakkan.

  • Kebebasan daripada kekurangan fizikal dan mental

    Kesihatan pasangan turut diambil kira supaya kehidupan berumahtangga dapat dijalani dengan lebih baik.

  • Kelebihan sekufu dalam perkahwinan

    Pengamatan penulis selaku kaunselor dan pegawai rundingcara keluarga, pasangan yang sekufu memberikan banyak kelebihan yang boleh membantu dalam mewujudkan perkahwinan yang lebih stabil dan harmoni.

    Keserasian dalam pelbagai aspek bukan sahaja menjadikan kehidupan berumahtangga lebih lancar, malah dapat mengelakkan konflik yang berpunca daripada perbezaan yang sukar diselaraskan.

    Berikut adalah beberapa kelebihan utama sekufu dalam perkahwinan: Antara kelebihannya ialah:

  • Mengurangkan konflik

    Apabila pasangan mempunyai nilai hidup dan latar belakang yang hampir sama, mereka cenderung untuk melihat sesuatu dari perspektif serupa.

    Ini memudahkan penyelesaian masalah dan mengelakkan pertelingkahan yang berpunca daripada perbezaan prinsip dan cara hidup.

    Perbezaan yang terlalu ketara, jika tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan perselisihan faham yang berpanjangan dan menjejaskan keharmonian rumah tangga.

  • Memudahkan komunikasi Pasangan yang sekufu dari segi pendidikan dan latar belakang budaya biasanya mempunyai cara komunikasi yang lebih serasi.

    Mereka dapat memahami gaya bahasa, pemikiran dan cara penyampaian masing-masing dengan lebih mudah. Keserasian ini membantu dalam mengelakkan salah faham dan membolehkan mereka berbincang serta menyelesaikan isu dengan lebih berkesan.

  • Membantu membentuk matlamat hidup yang seiring Pasangan yang sekufu lebih mudah mencapai kesepakatan dalam merancang kehidupan mereka, termasuk dalam aspek kewangan, pendidikan anak-anak dan perancangan masa depan.

    Apabila kedua-duanya berkongsi aspirasi dan nilai yang sama, mereka lebih cenderung untuk bekerjasama dan saling menyokong dalam mencapai matlamat keluarga.

    Perbezaan yang terlalu ketara boleh menyebabkan pertembungan pandangan yang menyukarkan perancangan jangka panjang.

  • Memupuk kesejahteraan emosi

    Hubungan yang berlandaskan sekufu sering kali membawa kepada kestabilan emosi dalam rumah tangga.

    Apabila pasangan berasa serasi,mereka lebih mudah untuk berkongsi perasaan, memahami keperluan emosi pasangan dan memberikan sokongan yang diperlukan.

  • Adakah semua pasangan perlu sekufu?

    Persoalan sama ada sekufu itu penting dalam perkahwinan sering dibincangkan. Ada yang percaya ia menjamin kestabilan rumah tangga, sementara yang lain berpendapat komitmen dan usaha bersama lebih utama.

    Islam tidak meletakkan sekufu sebagai syarat sah nikah, tetapi ia boleh membantu keharmonian rumah tangga.

    Namun, tidak semua pasangan perlu sekufu dalam setiap aspek. Banyak perkahwinan berjaya kerana pasangan saling memahami dan bertolak ansur walaupun ada perbezaan sosial, ekonomi atau pendidikan.

    Jika pasangan tidak sekufu dalam beberapa aspek, komunikasi berkesan, toleransi, dan usaha mencari titik persamaan dapat membantu mengekalkan keharmonian rumah tangga.

    Pasangan yang mempunyai perbezaan dalam latar belakang atau cara hidup boleh membina hubungan yang kukuh dengan beberapa cara berikut:

  • Komunikasi yang berkesan – Pasangan harus sentiasa berbincang secara terbuka mengenai nilai, harapan, dan keutamaan masing-masing.

  • Sikap toleransi dan fleksibiliti – Setiap individu perlu bersikap terbuka untuk menyesuaikan diri dengan budaya atau gaya hidup pasangan.

  • Mencari titik persamaan – Walaupun ada perbezaan, mencari titik persamaan dalam prinsip asas seperti kepercayaan, matlamat hidup dan cara membesarkan anak-anak dapat membantu mengekalkan keharmonian.

  • Sokongan keluarga dan masyarakat – Memastikan hubungan kekal baik dengan keluarga dan persekitaran sosial pasangan boleh membantu mengurangkan tekanan akibat perbezaan latar belakang.

    Kesimpulan

    Sekufu bukan sekadar mengenai taraf atau kedudukan sosial, tetapi lebih kepada keserasian dalam nilai hidup, pemikiran dan matlamat.

    Walaupun ia bukan satu-satunya penentu kebahagiaan, ia boleh menjadi faktor yang membantu memastikan rumah tangga lebih stabil dan harmoni.

    Rasulullah SAW sendiri menganjurkan supaya sekufu dijadikan salah satu pertimbangan dalam pemilihan jodoh, selain daripada aspek akhlak dan agama.

    Jadi, dalam mencari pasangan hidup, adakah sekufu menjadi keutamaan bagi anda? Atau adakah anda percaya cinta dan usaha bersama lebih penting dalam membentuk rumah tangga yang bahagia? Fikir-fikirkan!

    Penulis Ketua Pendaftar Wilayah-Wilayah Persekutuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top