am@hmetro.com.my
Baling: “Pak cik hilang isteri dan menantu perempuan yang ketika itu sedang hamil. Anak lelaki turut maut sekelip mata dalam tragedi kepala air Kampung Iboi. Hidup pak cik kini sunyi.
“Tragedi yang berlaku pada jam 4 petang, 4 Julai 2022 itu benar-benar meragut kebahagiaan pak cik. Malah rumah yang menjadi tempat berteduh juga lesap digulung arus deras,” kata Abdul Rahman Said, 74.
Dalam kejadian itu, Abdul Rahman hilang isteri, Salmah Mat Akib, 53, anak tirinya, Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, serta menantunya, Nurul Hanis Abu Hassan, 23.
Kejadian kepala air itu turut menyebabkan 12 rumah di Kampung Iboi itu ‘lesap’ dibawa arus deras.
Mengenang kembali tragedi yang berlaku pada hari kejadian, Abdul Rahman ketika itu tiada di rumah kerana mempunyai urusan di Kuala Pegang di sini.
Dia bagaimanapun berpatah balik berikutan hujan lebat yang berlaku.
Katanya, sebaik tiba di Pekan Kupang, menantunya, Nurul Hanis yang ketika itu sedang hamil menghubunginya dan memberitahu rumah mereka mulai dinaiki banjir.
“Menantu beritahu, ‘Abah rumah kita banjir’ dan waktu itu hujan sangat lebat. Saya kemudian melihat WhatsApp pada telefon bimbit dan Nurul Hanis memaklumkan banjir semakin buruk.
“Saya kemudian berusaha menghubunginya berulang kali, namun gagal. Saya kemudian bergegas pulang sebelum mendapati jambatan menghubungkan kampung kami hilang dihanyutkan arus deras.
“Saya kemudian berlari ke rumah, namun terkejut apabila mendapati rumah sudah hilang dibawa arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, baru-baru ini.
Abdul Rahman berkata, dia melihat sendiri air sungai melimpah dengan arus yang amat deras serta bergulung-gulung.
“Air sungai bergulung di depan mata. Banyak pokok-pokok dan kayu balak dihanyutkan arus deras.
“Dalam keadaan cemas itu, saya dibawa ke Sekolah Menengah (SM) Jerai, di sini, yang menjadi lokasi penduduk kampung berlindung,” katanya.
Menurut Abdul Rahman, isterinya ketika itu terlantar sakit akibat angin ahmar dan ditemani menantunya yang sedang hamil anak sulung selain anak tirinya yang berada di rumah.
Katanya, mereka bertiga tidak sempat menyelamatkan diri berikutan kejadian berlaku terlalu pantas dan air sungai amat deras.
“Alhamdulillah, kira-kira jam 9 pagi keesokan harinya, jasad ketiga-tiga ahli keluarga saya ditemui pasukan penyelamat,” katanya.
Abdul Rahman berkata, dia tidak dapat melupakan kejadian itu dan masih trauma dengan apa yang berlaku.
“Banjir itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu yang menyebabkan rumah saya musnah 100 peratus dihanyutkan arus deras.
“Kejadian ini adalah ujian Allah SWT. Saya reda dengan apa yang berlaku kerana ia adalah kehendak-Nya,” katanya.
Abdul Rahman kini tinggal di rumah baharu yang dibina di tanah milik kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Desa KEDA Kampung Sadek, Mukim Kupang, Baling sejak lebih setahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd