am@hmetro.com.my
Baling: “Memori paling menyayat hati apabila saya menemui jasad wanita sedang hamil dalam keadaan berpelukan bersama ibu mentuanya. Mayat kedua-dua mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi di Kampung Iboi,” ujar Penolong Penguasa Bomba, Mohd Jamil Mat Daud iaitu bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling.
Menurutnya, mayat remaja lelaki berusia 14 tahun pula ditemui berhampiran dua mangsa wanita terbabit.
Mohd Jamil yang mengetuai operasi SAR mencari tiga beranak yang hilang dihanyutkan arus deras akibat tragedi banjir puing dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, mengakui bencana alam yang berlaku amat dahsyat.
“Wanita hamil, Nurul Anis Abu Hassan, 28, dan ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, dihanyutkan kepala air dari rumah mereka di Kampung Iboi. Mereka ditemukan dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang runtuh.
“Dua mangsa ini ditemui di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras manakala Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui tidak lama kemudian,” katanya.
Mohd Jamil yang kini bertugas sebagai Ketua Balai BBP Sik berkata, pengalamannya menyertai operasi tragedi kepala air di Titi Hayun di Yan yang mengorbankan enam mangsa menjadikan dia lebih berkeyakinan untuk memastikan operasi di Kupang itu berjaya.
Mengenang semula detik kejadian, dia menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat di Kampung Iboi tanpa menyangka ia akan membawa bencana lebih besar.
“Ketika itu anggota bomba memaklumkan menerima banyak maklumat mendakwa terdapat 20 mangsa terbabit dalam kejadian banjir kilat itu.
“Saya dan Pegawai Kanan Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Sofi Abdul Wahab bergerak ke lokasi untuk memberikan bantuan,” katanya.
Mohd Jamil berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan ramai penduduk dilaporkan hilang dan pada masa yang sama gangguan telekomunikasi menyukarkan operasi.
“Sebaik sampai, didapati jambatan pertama memasuki kampung berkenaan ditenggelami banjir manakala jambatan kedua di Lata Celak pula runtuh akibat dihanyutkan air deras.
“Ketika itu, anggota bomba dan agensi penyelamat lain seperti polis serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) tidak dapat memasuki kawasan itu.
“Selepas tapisan laporan dibuat polis, hanya terdapat tiga mangsa yg didapati hilang dalam kejadian berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd