
Kebinasaan teruk di Genting Gaza akibat kempen pengeboman ganas dilancarkan Zionis selama lebih 20 bulan. Foto AFP
GENTING GAZA – Zionis terus memperhebatkan serangan ganas ke seluruh Genting Gaza dan meragut lebih 100 nyawa orang awam termasuk kanak-kanak ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari di wilayah itu.
Kempen pengeboman sengit itu turut menyasarkan ‘zon kemanusiaan’ ciptaan rejim Tel Aviv di al-Mawasi di barat Khan Yunis, selatan Gaza yang menjadi tempat berlindung penduduk hilang tempat tinggal sejak lebih setahun lalu.
Keganasan itu berlaku selepas askar Zionis menembak mati puluhan lagi penduduk Palestin yang kelaparan di Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di tengah enklaf berkenaan setelah angka korban di hab bantuan atau ‘perangkap maut’ itu meningkat lebih 500 orang.
Pelan tempoh bertenang itu diumumkan selepas Washington meluluskan penjualan senjata bernilai AS$510 juta (RM2.15 bilion) kepada Israel, sekali gus mendedahkan sisi hipokrasi AS yang sebenarnya menyokong perang genosid yang sudah berlarutan selama 21 bulan di Gaza.

Anggota Agensi Pertahanan Awam Palestin cuba mengawal kebakaran di sebuah bangunan di Bandar Gaza yang dibedil Israel. Foto AFP
Kelulusan bekalan ‘senjata pembunuh’ itu dibuat pada 30 Jun lalu dan ia termasuk pelbagai jenis bom dan lebih 7,000 kit panduan Joint Direct Attack Munition (JDAM).
Perjanjian tersebut juga meliputi sokongan teknikal, bantuan kejuruteraan dan perkhidmatan logistik.
Trump yang cuba menonjolkan dirinya sebagai ‘pendamai dunia’ sejak kebelakangan ini menggesa Hamas supaya menerima cadangan tersebut pada kadar segera setelah beliau mendakwa sekutu kuatnya, Israel sudah pun bersetuju untuk memuktamadkan perjanjian damai berkenaan atas alasan bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan di Gaza bertambah buruk.
Syarat henti perang
Hamas dalam satu kenyataan menegaskan mereka terbuka untuk menerima perjanjian gencatan senjata hanya jika ada jaminan untuk menamatkan peperangan tersebut secara kekal dan pengunduran sepenuhnya Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dari wilayah itu setelah perang genosid tersebut mengorbankan lebih 57,100 penduduk Palestin.
Menurut pejuang bumi Gaza itu, mereka masih menyemak cadangan yang diberikan Mesir dan Qatar selaku perantara proses damai tersebut selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi mengancam mahu menghapuskan gerakan berkenaan meskipun ia mustahil sama sekali.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas Israel mengebom tengah Gaza bertalu-talu. Foto AFP
“Hamas bersedia dan serius untuk mencapai perjanjian tempoh bertenang itu.
“Kami akan menerima sebarang inisiatif yang jelas membawa kepada langkah penamatan perang,” ujar pegawai Hamas, Taher al-Nunu sambil menambah mereka bersetuju untuk bebaskan 50 baki tawanan yang mana sebahagian daripadanya dipercayai masih hidup. – Agensi