asyikin.mat@hmetro.com.my
ANGKARA sihir penunduk, tingkah laku wanita ini bagaikan ‘lembu dicucuk hidung’ dan menuruti segala permintaan bekas suaminya termasuk perkara tidak masuk akal.
Malah turut dipergunakan bekas suaminya dengan membuat pinjaman bank lebih RM200,000 untuk kepentingan peribadi.
Ini menyebabkan wanita yang dikenali sebagai Hanim, 40-an, terperangkap krisis kewangan teruk kerana perlu membayar ansuran pinjaman bank lebih RM2,000 sebulan hingga kini.
Hanim berkata, dia menjadi mangsa sihir penunduk bekas suaminya selama lebih 10 tahun.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu dia merasakan dirinya seperti ‘diikat,’ ‘blur,’ buntu selain tidak boleh membantah.
“Saya menjadi isteri yang terlalu taat dan sanggup menyerahkan semua wang kepada bekas suami.
“Malah saya nyaris muflis kerana gagal melunaskan ansuran kereta yang dibeli atas permintaan bekas suami. Ketika itu, kami baru saja berkahwin.
“Disebabkan masalah kewangan teruk, saya terpaksa membanting tulang melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga termasuk menjual burger, nasi lemak dan menjadi tutor.
“Ini kerana suami bersikap lepas tangan dan tidak mengambil tahu perkara berkaitan perbelanjaan rumah tangga,” katanya.
Hanim yang bekerja dalam bidang profesional berkata, satu persatu tembelang bekas suami terbongkar dan paling tidak disangka dia dimadukan secara rahsia.
“Pada mulanya saya marah dengan penipuan bekas suami, tetapi kemarahan ini adalah seketika.
“Malah, pada masa sama saya turut membantu bekas suami mencarikan rumah kediaman untuk isteri keduanya.
“Hati saya memberontak kerana tidak boleh terima perkara ini tetapi tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.
Katanya, dia mendirikan rumah tangga pada usia muda awal 20-an kerana terpikat dengan tutur kata lembut bekas suaminya.
“Namun kebahagiaan yang saya harapkan bertukar sebaliknya dan memutuskan berpisah pada 2016.
“Ikatan perkahwinan yang terlerai tidak menamatkan penderitaan saya, bahkan menjadi berganda (penderitaan).
“Saya diserang pula pelbagai penyakit fizikal seperti migrain yang teruk, sakit perut dan kaki. Hinggakan berjalan pun terpaksa seret kaki.
“Sepanjang tempoh itu, saya sukar melakukan ibadah termasuk tidak mahu mengaji al-Quran,” katanya.
Hanim berkata, gangguan sihir dialaminya pulih sepenuhnya selepas bekas suami meninggal dunia pada 2021.
“Saya bersyukur dapat menikmati kembali kehidupan normal yang hilang sebelum ini dan mencapai perkembangan kerjaya yang baik,” katanya.
Perbodoh mangsa
SIHIR penunduk digunakan untuk menundukkan mangsa dengan tujuan menguasai dan memperbodohkannya.
Penasihat Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM) Datuk Mohd Fauzi Mustaffa berkata, sihir penunduk juga dipanggil ilmu guna-guna yang lazimnya digunakan isteri untuk menundukkan suaminya.
Menurutnya, Islam melarang amalan ini kerana ia menggunakan syaitan bagi tujuan menundukkan mangsa.
“Dalam sebuah hadis ada menyebut sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu guna-guna (spesifik sihir penunduk) adalah syirik.
“Pelaku perlu membaca jampi mantera untuk ‘memanggil’ syaitan supaya membantu menjayakan hasratnya (menundukkan mangsa).
“Tanda-tanda seseorang terkena sihir penunduk ialah peri lakunya berubah secara tiba-tiba apabila berhadapan dengan pelaku, tunduk dan menuruti suruhannya meskipun perkara tidak betul,” katanya.
Beliau berkata, zaman dahulu, sihir penunduk untuk suami isteri adalah menggunakan nasi kangkang atau nasi tangas.
“Isteri memberi nasi kangkang kepada suami supaya hatinya tidak berubah kepada orang lain dan hanya mencintai isterinya.
“Cara membuat nasi kangkang ialah nasi yang sedang dimasak dan mendidih akan dikangkang dalam keadaan penutup periuk terbuka, sambil membaca mantera.
“Nasi kangkang mempunyai ‘kuasa’ lebih kuat apabila dibuat ketika pelaku dalam haid kerana kemungkinan nasi ini bercampur dengan darah berkenaan.
“Suami yang diberikan nasi ini akan tunduk kepada isteri serta merta kerana kesan nasi kangkang sangat cepat, walaupun hanya sekali makan.
“Cara untuk mengelakkan daripada terkena sihir penunduk ialah sentiasa mengamalkan zikir, membaca ruqyah, al-mathurat, manzil dan ayat tiga Qul,” katanya.
Jelasnya, jangan terjebak dengan sihir penunduk kerana ia perbuatan berdosa besar.
“Selain berdosa kepada mangsa kerana ‘memperbodohkannya,’ apatah lagi dilakukan terhadap suami.
“Pelaku (isteri) tidak dapat mencium bau syurga kerana derhaka disebabkan tergamak melakukan perkara tidak sepatutnya kepada suami.
“Sihir ini menzalimi mangsa kerana ‘mangsanya’ tidak boleh berfikir dengan betul.
“Ini kerana jin ‘duduk’ di kepala mangsa akan menyekat pemikirannya daripada berfikiran secara waras,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd