Mydin, Nestle semai peduli, kongsi rezeki kanak-kanak tidak bernasib baik

Mydin, Nestle semai peduli, kongsi rezeki kanak-kanak tidak bernasib baik

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dengan kerjasama Nestle Malaysia menyumbangkan sarapan pagi bernilai RM10,000 kepada Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) dalam usaha menyemai rasa peduli dan kasih sayang terhadap kanak-kanak kurang bernasib baik.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, sumbangan itu bukan sekadar memenuhi keperluan harian, tetapi turut membawa mesej masih ada pihak yang mengambil berat terhadap nasib dan kebajikan golongan berkenaan.

Menurut beliau, jika kanak-kanak dibesarkan dalam suasana penuh kasih sayang dan perhatian, mereka akan menjadi individu yang penyayang dan positif, bukannya menyimpan rasa marah akibat terpinggir.

“Kita tidak mahu mereka membesar dengan rasa tiada siapa peduli, walaupun hanya sarapan, ia cukup untuk menyampaikan mesej mereka disayangi dan tidak keseorangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Kita Bawa Sarapan di Mydin USJ di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Pegawai Eksekutif Perniagaan NestlΓ© Cereal Partners Worldwide (CPW) Malaysia dan Singapura, Philip Joe.

Setiap pembelian produk bijirin sarapan Nestle di Mydin dari 19 Jun hingga 2 Julai lalu menyumbang RM0.10 kepada RACTAR menerusi inisiatif kempen berkenaan.

Ameer turut merakamkan penghargaan kepada Nestle atas komitmen mereka serta keprihatinan pihak yang menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bersama Mydin.

Tambahnya, proses pengagihan sumbangan dilakukan dengan cepat dan teratur melalui semua cawangan Mydin di seluruh negara bagi memastikan bantuan sampai tepat pada masanya.

“Kami berterima kasih kepada Nestle kerana tidak menunggu lama untuk urusan akaun atau kutipan.

“Mereka terus bersetuju untuk laksanakan dan jika ada lebihan atau kekurangan, mereka sanggup menambah atau melengkapkan sumbangan itu,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Mydin sememangnya aktif dalam pelbagai program CSR, namun bantuan yang melibatkan kanak-kanak amat dekat di hatinya kerana golongan itu sering terabai dari segi emosi.

“Kadang-kadang sukar untuk memahami perasaan kanak-kanak kerana mereka tidak tahu bagaimana mahu meluahkan apa yang dirasa,” jelasnya.

Ameer turut memaklumkan Mydin akan terus melaksanakan lebih banyak program seumpamanya melibatkan rumah kebajikan dan badan amal lain seperti kerjasama yang pernah dijalankan sebelum ini bersama Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia.

“Kita akan teruskan kerjasama dengan pelbagai pihak demi memastikan tiada kanak-kanak terpinggir daripada perhatian dan kasih sayang komuniti,” tambah beliau.

Scroll to Top