Izham Tarmizi belum putuskan hala tuju

Izham Tarmizi belum putuskan hala tuju

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur “Saya belum putuskan lagi perjalanan karier saya untuk yang seterusnya.”

Itu kata bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Izham Tarmizi Roslan menjelaskan bahawa dia masih belum memutuskan lagi ke mana hala tujunya bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pada 17 Jun lalu, Izham termasuk dalam 11 pemain yang dilepaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan dia sebelum ini dipinjamkan ke pasukan Sri Pahang.

Penjaga gawang berusia 34 tahun itu mengakui bahawa ada beberapa pasukan menghubunginya, namun dia menjelaskan bahawa perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat sebarang keputusan demi keluarga.

“Saya masih dalam perbincangan sebab saya sudah berumur 34 tahun dan mungkin posisi saya untuk bermain seperti agak susah. Pada masa yang sama saya sudah ada ‘bisnes’.

“Ada (pasukan yang hubungi), namun saya perlu berbincang dengan keluarga dan mungkin saya kena fikir dulu sebab saya fikirkan anak saya. Anak saya yang pertama autisme. Sekarang ini rawatan terbaik adalah di Johor dan Singapura.

“Jadi, memang saya nak pindah mungkin berat sikit, tapi InsyaAllah kalau dalam waktu terdekat ini saya terbuka untuk pergi ke mana-mana pasukan, saya akan maklumkan,” katanya.

Izham yang pernah mewakili pasukan bawah 23 (B-23) dan skuad senior Harimau Malaya ketika ini terbabit dalam dunia perniagaan dengan dia memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan FAT Sports Malaysia.

Pernah ditaja jenama itu selama 10 tahun sejak 2015, Izham kini memberi fokus untuk mengembangkan lagi jenama barangan sukan itu di negara ini.

“Saya juga mahu membantu penjaga gol di Malaysia sebab saya pernah berada dalam situasi itu. Macam mana nak dapatkan tajaan dengan barang berkualiti dan perkara itu yang saya mahu buat di Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top