Ringgit dijangka diniagakan dalam julat terhad minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat terhad minggu depan
Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan kukuh berbanding dolar AS yang ditutup pada paras 4.2180/2260 daripada 4.2300/2355 pada Jumaat lepas. Foto Bernama

Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan kukuh berbanding dolar AS yang ditutup pada paras 4.2180/2260 daripada 4.2300/2355 pada Jumaat lepas. Foto Bernama

RINGGIT dijangka diniagakan dalam julat yang terhad berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 9 Julai.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan dijangka kekal stabil dengan para peserta pasaran menumpukan perhatian kepada keputusan yang akan dibuat oleh bank pusat itu.

“Keputusan mesyuarat berkenaan boleh menentukan hala tuju ringgit dalam jangka pendek.

“Kami menjangkakan penurunan sebanyak 25 mata asas pada kadar dasar semalaman (OPR) memandangkan keperluan untuk sokongan monetari semakin meningkat berikutan prospek makroekonomi yang semakin mencabar bagi separuh kedua 2025,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, permintaan global yang perlahan, ketegangan geopolitik yang berterusan serta tanda aktiviti domestik yang semakin sederhana mungkin mendorong bank pusat untuk mengambil pendirian yang lebih mesra.

“Jika tiada kejutan besar dari luar, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil iaitu antara RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini,” katanya.

Ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan kukuh berbanding dolar AS yang ditutup pada paras 4.2180/2260 daripada 4.2300/2355 pada Jumaat lepas.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.9225/9282 daripada 2.9359/9399 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7601/7710 daripada 5.8141/8217.

Bagaimanapun, ia menurun berbanding euro kepada 4.9675/9770 daripada 4.9597/9661 pada hujung minggu lepas.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3114/3182 daripada 3.3192/3240, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 260.6/261.2 daripada 260.9/261.4 manakala ia melemah berbanding baht Thailand kepada 13.0302/0609 daripada 13.0254/0488 sebelumnya.

Ia kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada paras 7.47/7.49. – Bernama

Scroll to Top