am@hmetro.com.my
Melaka: Tiada keperluan setakat ini untuk parti membincangkan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang bersedia menjadi ‘jambatan’ menyatukan bekas pemimpin parti digantung keahlian mereka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hasrat Dr Muhamad Akmal itu sebenarnya bukan polisi yang diamalkan Barisan Nasional (BN), malah perkara itu belum pernah dikemukakan serta dibincangkan di peringkat tertinggi parti.
“Jadi apa-apa pun kepemimpinan tertinggi BN akan bincang. Kita tunggu (masa sesuai), belum ada keperluan untuk berbincang soal itu sekarang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu, di Dewan Penjara Sungai Udang, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu merangkap EXCO Kanan Melaka, Datuk Rais Yasin.
Isu berkenaan membabitkan bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan.
Sebelum itu, UMNO Bahagian Sembrong menyatakan hasrat supaya Hishammuddin diterima semula dalam kepemimpinan parti itu.
Susulan itu, Hishammuddin dilaporkan memberi bayangan tidak akan merayu penggantungan keahliannya dengan menegaskan tindakan terbabit bukan penentu kesetiaannya kepada UMNO.
© New Straits Times Press (M) Bhd




