hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung ugutan bunuh membabitkan Exco Armada Bersatu Malaysia yang juga pengarah sebuah syarikat baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan polis berhubung kejadian dibuat individu berkenaan pada 2 Julai lalu kira-kira jam 9.13 malam.
“Mangsa memaklumkan menerima panggilan telefon daripada salah seorang rakannya jam 10.57 pagi hari sama yang menyatakan terdapat maklumat mengenai seorang lelaki yang dipercayai sedang merancang untuk membunuhnya.
“Bimbang terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan tidak mengenali individu yang merancang membunuhnya itu.
“Buat masa ini, polis sedang giat mengesan identiti susspek terbabit dan menyiasat dari semua segi dan memberi jaminan keselamatan pengadu,” katanya.
Katanya, setakat ini dua individu sudah dirakam keterangan manakala seorang lagi saksi penting dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
“Kami percaya keterangan saksi ini merupakan kunci utama untuk menjejaki pelaku dan memperjelaskan motif ugutan yang diterima pengadu.
“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan terhadap mana-mana individu berkaitan kes ini,” katanya.
Sulizmie berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Rosdi M. Husin di talian 013-3920694,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Exco Armada Bersatu, Na’im Brundage mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman untuk disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Beliau dilaporkan berkata, ancaman itu adalah satu tindakan serius yang boleh mengancam keselamatan diri dan ahli keluarganya.
© New Straits Times Press (M) Bhd