mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penantian peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan aksi pertama Dion Cools bersama Cerezo Osaka akhirnya tertunai apabila pertahanan Harimau Malaya itu turun buat kali pertama dalam saingan J1 League.
Bek kanan berusia 29 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-73 menggantikan Hayato Okuda dalam perlawanan menentang Gamba Osaka di Stadium Yodoko Sakura, malam tadi.
Kemasukan Cools jelas menjadi strategi jurulatih Cerezo, Arthur Papas, untuk menghidupkan semula jentera serangan pasukan yang ketinggalan 0-1 selepas Gamba mendahului menerusi jaringan Riku Handa pada minit ke-70.
Walaupun hanya beraksi kurang 20 minit, penampilan itu tetap mencuri tumpuan peminat Malaysia yang sekian lama menanti detik Cools membuat debut bersama kelab Jepun itu sejak menyertai mereka pada bulan lalu.
Cools sebelum ini pernah beraksi bersama kelab seperti FC Midtjylland, Zulte Waregem, dan Buriram United serta menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dalam beberapa kempen antarabangsa.
Jika keputusan kekal, kekalahan itu menyaksikan jurang mata antara Cerezo yang berada di tangga kesembilan (33 mata) dan Gamba Osaka di tangga ke-11 (31 mata) hanya berbaki dua mata.
Penyokong tempatan di media sosial turut berkongsi keterujaan menyaksikan ‘orang besi’ Harimau Malaya akhirnya menyarung jersi merah jambu Cerezo secara rasmi dalam saingan liga.
Penampilan sulung ini dijangka membuka ruang lebih besar buat Cools memburu minit permainan konsisten dan mencabar tempat kesebelasan utama dalam baki musim J1 League.
© New Straits Times Press (M) Bhd