Menyertai sekuel filem Impak Maksima 2 sebagai pelakon utama nyata memberi tekanan tersendiri buat pelakon baharu berbakat, Arfie Shah.
Menurut bintang drama bersiri Nuh dan Nayla ini, emosinya sedikit terganggu menjelang tayangan perdana filem tersebut dan ia terjadi selama seminggu.
Luah pemilik nama sebenar Ad Wafri Shaharuddin, 32, itu, dia sukar mengawal rasa risau dan bimbang mengenai penerimaan penonton terhadap lakonannya, meskipun cuba menyembunyikan perasaan itu daripada pengetahuan orang sekeliling.

“Seminggu sebelum tayangan perdana filem ini, saya sudah rasa sangat gementar. Setiap hari asyik fikirkan filem ini, tetapi tidak tunjukkan kepada orang lain. Saya seorang yang ‘overthinking’ dan asyik berfikir.
“Sejujurnya, sejak awal terima tawaran pun saya rasa ia satu cabaran besar. Satu tekanan sebagai pelakon baru dan bukan mudah untuk digalas. Lagipun membawa watak utama, harapan orang pasti tinggi,” katanya kepada XTRA.
Arfie ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Impak Maksima 2 yang berlangsung di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Filem arahan sutradara profilik Dr Ahmad Idham yang pernah mencipta fenomena pada tahun 2007 kini kembali dengan kesinambungan cerita selepas 18 tahun.

Lega selepas menonton hasil akhir filem terbabit, Arfie berharap ia dapat mengajak peminat filem pertama serta menarik hati peminat baharu untuk menyaksikan Impak Maksima 2 di pawagam.
“Selepas filem ini selesai disunting, ini merupakan kali pertama saya menonton produk akhir. Sejujurnya, saya rasa sedikit lega dan ia mengurangkan rasa tekanan yang saya fikirkan sejak seminggu lalu.
“Filem pertama sukses dan sudah 18 tahun ditayangkan. Untuk membawa filem ini ke 18 tahun akan datang, bukan satu perkara mudah. Namun selepas menonton saya yakin pengarah berjaya membawa kembali sentuhan tersendiri yang pernah dibuat sebelum ini.
“Namun dalam hidup ini semuanya bergantung kepada rezeki. Saya hanya mampu berdoa agar ia mendapat sambutan baik penonton. Semoga peminat filem pertama dapat hadir menyokong Impak Maksima 2 dan saya juga berharap ia dapat menarik peminat baharu,” katanya lagi.
Selain Arfie, Impak Maksima 2 turut menampilkan barisan pelakon seperti Nelissa Nizam, Datuk Seri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar, Fad Bocey, Muhsin Nadzli dan ramai lagi. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 Julai 2025.




