Beregu negara takluk Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2025

Beregu negara takluk Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2025

sukan@hmetro.com.my

Kangar: Pemain beregu remaja negara jelas menunjukkan potensi mereka apabila menjuarai dua daripada lima kategori yang dipertandingkan dalam Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Pada saingan akhir yang berlangsung di Dewan 2020 itu, empat pasangan negara berjaya menempatkan diri bagi merebut kategori beregu remaja lelaki, remaja perempuan dan campuran namun hanya hanya dua pasangan sahaja yang menjuarai kategori masing-masing iaitu beregu campuran dan remaja perempuan.

Dalam saingan beregu campuran yang menyaksikan pertembungan dua pasangan negara, pilihan nombor dua kejohanan, Noraqilah Maisarah Ramdan yang berpasangan dengan Loh Zi Heng berjaya melakukan kejutan selepas menundukkan pilihan pertama, Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi dalam tiga set 20-22, 21-15, 21-12.

Dania Sofea kemudian menebus kekalahannya dalam kategori bergu remaja perempuan apabila dia dan pasangannya, Low Zi Yu mudah menundukkan pasangan adik beradik dari Thailand, Khanaphon Deearom-Thanapon Deearom dengan kemenangan straight set 21-11, 21-19.

Momentum kemenangan dua pasangan negara itu bagaimanapun gagal dituruti oleh beregu remaja lelaki, Loh Zi Heng-Tan Zhi Yang yang kecundang kepada pasangan remaja dari Indonesia, Alexius Ongkytama Subagio-Aquino Evano Keneddy Tangka menerusi tiga set 21-18, 19-21, 20-22 dalam perlawanan yang turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam acara perseorangan remaja lelaki dan perempuan pula, pilihan pertama dari Hong Kong dan Thailand, Lam Ka To dan Tonrug Saeheng menepati ramalan apabila berjaya menundukkan lawan masing-masing dari Indonesia dan Hong Kong untuk menjuarai kategori berkenaan.

Noraqilah Maisarah ketika ditemui menyifatkan dia dan Zi Heng cuba bermain tanpa tekanan memandangkan pasangan yang ditentang itu adalah rakan senegara yang juga pilihan pertama kejohanan.

“Malah, kita sudah bertemu sebelum ini dan kali terakhir pada Kejohanan Kebangsaan Bawah-18 tahun awal tahun ini jadi kita bermain tanpa tekanan dan cuba memberikan tentangan yang terbaik kepada mereka.

“Alhamdulilah, buat masa ini kami bebas daripada kecederaan dan kami akan memfokuskan dan memperbaiki permainan kami menjelang Kejohanan Badminton Remaja Asia di Indonesia minggu hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Aamar Hashim melihat prestasi dan kejayaan pemain beregu remaja negara ini amat memberangsangkan di mana pemain yang bersaing ini berpotensi untuk digilap bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Namun, kita agak bimbang sedikit di sini dengan prestasi pemain perseorangan remaja lelaki dan perempuan negara kita tidak berada pada tahap sebenar apabila tiada seorang pemain negara layak ke peringkat akhir.

“Apa pun di peringkat remaja ini, kejohanan ini adalah medan sebenar menguji kemampuan pemain remaja ini dalam bersaing di peringkat dunia di mana jika kita lihat pemain seperti Dania Sofea layak ke peringkat akhir dalam dua kategori,” katanya.

Aamar yang juga Presiden Persatuan Badminton Perlis (PsBA) berkata, kejohanan peringkat antarabangsa ini sudah memasuki edisi keenam penganjurannya di Perlis dan pada edisi kali ini lebih 400 pemain remaja dari seluruh dunia menyertai kejohanan tahunan ini.

Juara menerima hadiah wang tunai berjumlah USD720 (RM3,039) manakala naib juara pula mendapat USD480 (RM2,026).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top