am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Lelaki berhadapan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengedar ganja dan heroin seberat hampir dua kilogram, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Hazyzy Mohd Shah, 32, hanya mengangguk faham sebaik kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar ganja seberat 1,027 gram (g) dan heroin seberat 450g di sebuah rumah di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, di sini, kira-kira jam 1.45 pagi, 1 Julai lalu.
Kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.
Tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Musfira Mohd Fahmi.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah agar menetapkan suatu tarikh baru memandangkan belum menerima laporan kimia.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 September ini untuk sebutan semula kes dan tiada tawaran jaminan diberikan terhadap tertuduh.
© New Straits Times Press (M) Bhd