Pelakon jelita, Rozita Che Wan mengakui terkejut dan terpesona melihat penampilan dan kecantikan kakak kepada selebriti popular, Noor Neelofa iaitu Noor Nabila.
Menerusi perkongsian sepotong video pendek yang tular di platform TikTok, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta dilihat menghabiskan masanya bersama, Noor Nabila, Rosix, dan anak lelakinya, Ammar Effendy di sebuah restoran.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian, sebaik sahaja Che Ta memuji penampilan Nabila yang dilihat semakin kurus, ibu anak satu itu bagaimanapun berseloroh apabila memaklumkan dia akan kembali berumah tangga pada tahun hadapan.
“Kita nak naik pelamin tahun depan,” katanya ringkas.
Sekadar info, Noor Nabila dilaporkan pernah mendirikan rumah tangga pada Julai 2013 namun, usia perkahwinan itu tidak panjang apabila kedua-duanya berpisah pada 2014.
Kemudian, Nabila kembali mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pelakon Sharnaaz Ahmad pada Mac 2017, namun pasangan ini mencapai kata putus untuk berpisah secara baik pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan, Nabila dan Sharnaaz dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Jebat Jayden, 6.
Pada 19 Mac 2021, Nabila sekali lagi dilaporkan mendirikan rumah tangga bersama Engku Emran yang juga bekas suami kepada penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira.
Bagaimanapun pasangan itu bercerai dengan talak satu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.




