Sindiket tipu kerja sambilan dalam talian tumpas, polis cekup 3 Pati warga China

Sindiket tipu kerja sambilan dalam talian tumpas, polis cekup 3 Pati warga China

am@hmetro.com.my

Melaka: Kegiatan sindiket penipuan dalam talian membabitkan warga asing dikesan masih berlaku meskipun beberapa siri serbuan dan tangkapan dilakukan polis Kontinjen Melaka.

Terbaru, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri memberkas tiga lelaki warga China disyaki menjalankan aktiviti penipuan tawaran kerja sambilan atas talian tidak wujud.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan Isnin lalu di sebuah rumah di Pandan Malim, dekat sini yang dijadikan pusat operasi sindiket.

“Kita menahan tiga lelaki warga China berusia 32 hingga 38 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan tawaran kerja sambilan atas talian yang tidak wujud di Melaka.

“Hasil pemeriksaan pihak polis turut merampas seunit komputer riba serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama selain semakan mendapati ketiga suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkhairi berkata, semua suspek direman empat hari bermula semalam hingga 11 Julai dan kes disiasat berpandukan Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam masa singkat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top