Laksana DPP langkah strategik, tangani isu keselamatan – Penganalisis

Laksana DPP langkah strategik, tangani isu keselamatan – Penganalisis

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan dan mengurus populasi pelarian di negara ini.

Penganalisis keselamatan dan pertahanan, Zaki Salleh berkata, inisiatif itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana isu lambakan pelarian tanpa kawalan boleh membawa implikasi besar terhadap keselamatan negara, pengurusan sumber dan hubungan antarabangsa.

“Dengan adanya DPP, KDN dapat mengawal proses pendaftaran pelarian sepenuhnya. Kita boleh kenal pasti siapa yang benar-benar pelarian sekali gus mencegah elemen ekstremis, jenayah rentas sempadan atau penyusupan pihak tidak diingini yang mungkin menyamar sebagai pelarian.

“Ini penting, lihat saja kes penahanan warga Bangladesh yang dipercayai ahli kumpulan militan, baru-baru ini. Sebelum ini pun ada banyak kes sama,” katanya.

Menurut Zaki, pendaftaran rasmi oleh KDN akan membolehkan data pelarian dikemaskini dan disatukan dengan sistem kerajaan.

Katanya, langkah itu memudahkan perancangan dasar, penyaluran bantuan dan pemantauan keberadaan mereka secara lebih sistematik.

“Selain itu, isu berkaitan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) juga dapat ditangani.

“Ada warga asing yang bukan pelarian sebenar menggunakan kad UNHCR untuk tinggal lebih lama di Malaysia dan mengelak tindakan penguatkuasaan. Ada juga yang menjadikan kad itu sebagai lesen bekerja secara haram, sedangkan ia bukan dokumen rasmi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kes pemalsuan kad UNHCR oleh sindiket atau individu tertentu juga perlu dibanteras kerana boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

Bagaimanapun, Zaki mengingatkan KDN supaya menyediakan satu kerangka dasar yang jelas bagi pelaksanaan DPP, khususnya dari sudut hak asasi manusia.

“Kalau tiada dasar yang jelas, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan tekanan daripada masyarakat sivil serta komuniti antarabangsa.

“Namun, secara keseluruhannya, DPP ini sangat penting untuk memperkukuh keselamatan dan menjaga kedaulatan negara,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan KDN akan melaksanakan inisiatif DPP supaya kerajaan mempunyai data lebih tepat terhadap kumpulan pelarian.

Beliau dilaporkan berkata, ketika ini pendaftaran pelarian dikendalikan oleh UNHCR, namun proses perkongsian data dengan kerajaan mengambil masa yang panjang, selain menimbulkan pelbagai kekangan dalam pengurusan keselamatan dan kebajikan pelarian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top