London: Iga Swiatek berkata dia berasa “meremang” selepas mara ke separuh akhir Wimbledon buat kali pertama dalam karier gemilangnya selepas menewaskan wakil Rusia, Liudmila Samsonova 6-2, 7-5.
Pilihan kelapan dari Poland itu akan menentang pemain remaja Rusia, Mirra Andreeva atau bekas juara Olimpik, Belinda Bencic bagi merebut tempat ke final pada Sabtu ini.
Iga sebelum ini sudah meraih empat gelaran di gelanggang tanah liat Roland Garros dan juga kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat 2022, namun sering bergelut di gelanggang rumput di Kelab All England.
Pencapaian terbaiknya di Wimbledon sebelum ini adalah mara ke suku akhir pada 2023.
Iga menguasai set pertama menentang pilihan ke-19, Liudmila di Gelanggang Satu namun terpaksa berhempas pulas dalam set kedua sebelum menamatkan perlawanan dalam masa satu jam 49 minit.
“Ia satu perasaan yang hebat. Walaupun saya masih berada di pertengahan kejohanan, saya sudah pun berasa meremang selepas kemenangan ini. Saya sangat gembira dan bangga dengan diri sendiri, dan saya akan teruskan perjuangan.
“Sejujurnya, saya sangat seronok bermain tahun ini dan saya harap ia akan berterusan selama mungkin.
“Yang pasti, saya rasa saya benar-benar bekerja keras untuk mencapai kemajuan di permukaan gelanggang ini,” katanya.
Iga mematahkan servis lawan dua kali dalam set pembukaan untuk menguasai permainan sepenuhnya, dibantu dengan deretan kesilapan yang tidak sepatutnya dari Liudmila dan memenangi 100 peratus mata daripada servis pertamanya.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berada dalam pemerhatian di Wimbledon tahun ini memandangkan kebanyakan pilihan utama wanita lain sudah tersingkir, walaupun pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, masih kekal bersaing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




