Lapan orang saja boleh guna nama XPDC

Lapan orang saja boleh guna nama XPDC

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hanya lapan individu berhak menggunakan jenama XPDC untuk kumpulan mereka seperti diiktiraf oleh syarikat rakaman Life Records.

Mereka ialah Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael (penyanyi), Mohd Zulkifly Nik Hussin (Izo – gitar), Azuar Md Tasi (Zuar – bass), Rosly Abdul Samat (Lee Space – dram), Suhaimi Abu Bakar (Amy – dram), Mohd Ali Ismail (Ali – penyanyi), Saiful Rizla Kamarudin (Lola – dram) dan Amran Marsiman (Yan – bass).

Perkara ini dimaklumkan oleh peguam mewakili Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) iaitu Aizul Rohan pada sidang media Penyalahgunaan Nama Dan Jenama XPDC yang diadakan di Hotel Grand Barakah, Ampang, du sini, hari ini.

“Life Records hanya mengiktiraf lapan individu ini sebagai anggota asal dan rasmi kumpulan XPDC sejak penubuhan mereka pada 1988.

“Pihak lain selain nama-nama ini tidak dibenarkan menggunakan nama XPDC termasuk ‘generik’ (nama yang diwujudkan berkaitan dengan XPDC),” katanya.

Aizul berkata, sekiranya ada individu ketiga menggunakan nama XPDC, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang dikuatkuasa bermula hari ini.

“Sidang media hari ini adalah bertujuan merungkai persoalan itu. Selepas berbincang saya rasa isu penggunaan nama ini sudah berjawab.

“Sudah jelas siapa yang mempunyai hak menggunakan nama XPDC. Seperti tertulis dalam kenyataan dikeluarkan, nama yang tidak disebut secara automatik tiada hak.

“Kenyataan ini mengesahkan hak atau lesen menggunakan nama XPDC hanya kepada lapan individu.

Sekiranya ada individu lain menggunakan nama XPDC tindakan boleh diambil,” katanya.

Terdahulu, Life Records memberi kebenaran kepada dua XPDC untuk menggunakan nama yang dipatenkan oleh mereka iaitu XPDC Militia dan XPDC Kita Peng Yu.

XPDC Militia dianggotai Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass), Lola (drum) dan Ali (vokal). Ali bagaimanapun berdepan masalah kesihatan dan tempatnya digantikan oleh Mamu Fazli.

Sementara XPDC Kita Peng Yu dianggotai Zuar (bass), Amy (drum), Jeff (gitar) dan Ary (vokal) yang menggantikan Allahyarham Mael yang meninggal dunia.

Bagaimanapun kontroversi berlaku apabila terdapat individu yang mendakwa kawan rapat Mael menubuhkan kumpulan dinamakan sebagai Real XPDC.

Kewujudan Real XPDC dilihat mengganggu rezeki kedua-dua kumpulan terbabit kerana mengelirukan peminat apabila meletakkan perkataan Real dalam bentuk tulisan yang kecil dan XPDC dalam bentuk yang besar.

Mereka juga meletakkan harga yang rendah kepada penganjur penganjur sekali gus menutup rezeki XPDC Militia dan XPDC KPY.

Sementara itu, Presiden KARYAWAN iaitu Datuk Freddie Fernandez yang turut hadir berharap perkara ini dapat diselesaikan.

“KARYAWAN tidak akan berdiam diri jika ada pihak yang berani melanggar hak cipta itu.

“Masalah ini berlarutan begitu lama sehingga berlaku pergaduhan. Jadi kami mahu jernihkan keadaan dan melakukan tindakan dari segi undang-undang.

“Saya harap isu ini dapat diselesaikan dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menghormati hak orang lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Life Records turut memuat naik gambar lapan individu yang berhak menggunakan nama XPDC di Facebook mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top