
JDT meneruskan rentak positif dalam aksi pramusim. Foto JOHOR SOUTHERN TIGERS
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam siri jelajah pramusim di Sepanyol apabila mencatat keputusan seri 2-2 menentang Cardiff City.
Pertemuan yang berlangsung di Pinatar Arena, Sepanyol itu menyaksikan skuad Harimau Selatan dan Cardiff menampilkan permainan pantas serta aksi penuh bertenaga.
Bagaimanapun, JDT berdepan cabaran getir apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah terhadap Moussa Sidibé selepas melakukan kekasaran keras ke atas pemain lawan pada penghujung separuh masa pertama.
Situasi itu dimanfaatkan Cardiff untuk membuka jaringan menerusi percubaan David Turnbull, tiga minit selepas babak kedua bermula.
Namun, semangat juang tinggi dipamerkan anak buah Xisco Muñoz apabila berjaya menyamakan kedudukan melalui penyudah kemas penyerang baharu pasukan itu, Jairo Da Silva.
Cardiff sekali lagi berada di depan apabila Robin Colwill menyempurnakan sepakan percuma cantik yang menewaskan penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre.
Pertemuan tersebut semakin panas apabila pemain gantian Cardiff, Yousef Salech, diarahkan keluar padang selepas melakukan terjahan kasar dari belakang ke atas pemain JDT di kawasan tengah.
Ketika permainan dilihat hampir memihak kepada Cardiff, Oscar Arribas muncul penyelamat apabila menyambar peluang hasil kesilapan pertahanan dan penjaga gol lawan untuk menjaringkan gol penyamaan JDT pada minit-minit akhir perlawanan.
Keputusan seri ini memastikan JDT kekal tanpa kalah dalam siri persiapan pramusim mereka setakat ini dan memberikan ujian kompetitif berguna menjelang kempen baharu yang bakal bermula tidak lama lagi.