Samsung perkenal Galaxy Z Fold7 paling nipis, lebih ringan

Samsung perkenal Galaxy Z Fold7 paling nipis, lebih ringan

husain@hmetro.com.my

SAMSUNG Electronic sekali lagi mengungguli pasaran peranti telekomunikasi melalui pengenalan telefon bimbit dalam siri Galaxy Z Fold7 yang menggabungkan reka bentuk paling nipis, lebih ringan, kefungsian kamera dan inovasi AI.

Ia menawarkan prestasi premium dan pengalaman telefon pintar ultra, sambil membuka tahap kecekapan dan produktiviti baharu dengan paparan yang lebih besar dan mengasyikkan apabila dibuka.

Presiden dan Pemangku Ketua Bahagian Pengalaman Peranti (DX), TM Roh berkata, fasa baharu peranti boleh lipat ini menggabungkan reka bentuk dan kejuruteraan, dengan AI yang dibina khusus untuk bentuk boleh lipat.

“Ia memberikan pengalaman ultra kepada pengguna yang inginkan kuasa, mengasyikkan, pintar, dan mudah alih dalam satu peranti. Dengan One UI 8 sebagai asasnya, Galaxy Fold7, menyepadukan agen pintar, multimodal yang dioptimumkan untuk faktor bentuk boleh lipat dengan lancar,” katanya pada majlis pelancaran Galaxy Unpacked semalam.

Galaxy Z Fold7 direka untuk mereka yang inginkan gaya mudah alih harian dan rasa intuitif telefon pintar tradisional, digabungkan dengan kuasa yang dipertingkatkan dan fleksibiliti paparan yang lebih besar apabila dibuka, semuanya dalam satu peranti.

Dengan reka bentuk ultra nipis dan ringan serta paparan penutup yang lebih luas, Galaxy Z Fold7 memberikan pengalaman semasa bergerak yang lancar dan menjadikan penaipan serta pelayaran mudah apabila dilipat untuk senang dibawa ke mana-mana.

Menurut Ketua Pengalaman Mudah Alih Samsung Malaysia, Matthew Ng, telefon yang menggabungkan reka bentuk, kejuruteraan dan AI ini bakal memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi dan tempahan dibuka mulai sekarang hingga 31 Julai 2025.

Samsung juga bekerjasama rapat dengan Google Inc untuk menambah pengalaman gunaan yang optimum serta Xealth untuk kefungsian aktiviti dan kesihatan yang lebih menyeluruh.

Ada tiga varian dalam siri Galaxy Z Fold7 iaitu memori 16GB dengan 1 Terabait storan dalam dijual pada harga RM9,299, manakala memori 12GB dengan 512GB storan dalaman berharga RM7,799, dan memori 12GB dengan storan dalaman 256GB dijual pada harga RM7,199.

Pada majlis sama, Samsung turut memperkenal dua lagi produk pilihan iaitu telefon bimbit Galaxy Z Flip7 yang dijual pada harga bermula RM3,999 dan jam tangan siri Galaxy Watch8 berharga bermula RM1,299.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top