harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan remaja Britain berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang di negara asal masuk ke Malaysia Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan semakan rekod mendapati individu berkenaan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7 Jun.
“Setakat ini saya sahkan ada rekod kemasukan dan kita akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan remaja terbabit,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, pihak JIM sedang menyemak rekod kemasukan remaja terbabit yang dikatakan terbang ke Malaysia seorang diri.
Semalam, media melaporkan remaja warga Britain itu dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai menaiki penerbangan dari negara itu ke Kuala Lumpur pada Jun lalu tanpa pengetahuan keluarganya.
David Balisong, remaja lelaki dari Cheadle, Greater Manchester, ada memberitahu adiknya dia akan keluar awal untuk ke sekolah disebabkan sedang menduduki peperiksaan GCE Peringkat A, pada 6 Jun lalu.
Berdasarkan laporan Daily Mail, Balisong dikesan menaiki penerbangan sehala ke KLIA tanpa memaklumkan sesiapa.
Kehilangannya hanya disedari selepas Balisong tidak pulang ke rumah sebelum keluarganya menyedari berlaku sesuatu yang mencurigakan atas kehilangannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




