912 institusi pendidikan agama berdaftar di Perak tiada Kebenaran Merancang daripada PBT

912 institusi pendidikan agama berdaftar di Perak tiada Kebenaran Merancang daripada PBT

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebanyak 921 daripada 1,006 institusi pendidikan agama yang berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peratusan rendah bagi institusi yang memiliki KM iaitu sekitar 8.4 peratus atau 85 daripada keseluruhan institusi pendidikan itu membimbangkan.

Menurutnya, justeru perhatian perlu diberikan terutamanya dalam menyelaraskan tindakan penyelesaian bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini bagi institusi yang merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), sekolah agama swasta, pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).

Menurut Saarani, antara cabaran utama yang biasa dihadapi berhubung isu keselamatan dan pematuhan teknikal dalam institusi pendidikan agama adalah pembinaan bangunan tanpa kelulusan pelan, ketiadaan sistem keselamatan kebakaran, dan operasi institusi di atas tanah milik individu yang belum ditukar syarat penggunaannya.

“Keadaan ini menimbulkan pelbagai kesukaran bukan sahaja dalam soal urusan pendaftaran dan penyaluran bantuan, tetapi jauh lebih penting ia membabitkan keselamatan nyawa.

“Itulah titik penting supaya penambahbaikan mesti dilakukan dalam aspek tadbir urus dan integriti pembangunan institusi agama,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Awam di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top