STAR Team APMM bertindak pantas selamatkan kru helikopter

STAR Team APMM bertindak pantas selamatkan kru helikopter

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan pantas Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan lima anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas helikopter dinaiki mereka melakukan pendaratan cemas di Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor.

Detik cemas itu berlaku ketika Eksesais Keselamatan Rentas Sempadan MITSATOM 2025, semalam.

APMM berkata, insiden berlaku ketika latihan medan yang turut disertai pasukan keselamatan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Ketika suasana panik, 10 anggota STAR Team bertindak sebagai penyelamat pertama, terjun ke laut dan membawa semua mangsa ke bot keselamatan terdekat,” katanya dalam hantaran dikongsikan di Facebook (FB) agensi itu, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, pasukannya diketuai oleh Timbalan Skuadron Gempur STAR Team Semenanjung, Leftenan Madya Maritim Nur’ Mohd Farhan Mohd Hamil.

Katanya, ia menunjukkan tahap keberanian dan profesionalisme tinggi dalam menyelamatkan semua mangsa tanpa sebarang kehilangan nyawa.

“Tindakan STAR Team APMM membuktikan kesiapsiagaan dan kecekapan APMM dalam mengurus situasi kecemasan serta komitmen menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.

Dalam insiden semalam, helikopter AS355 milik PDRM terhempas berhampiran Jeti APMM di Gelang Patah, ketika melakukan lintas hormat sebagai sebahagian demonstrasi sempena latihan MITSATOM 2025.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) helikopter berkenaan yang dikendalikan PDRM berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.

Hari ini media melaporkan, seorang anggota polis yang juga kru helikopter berkenaan masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dipetik berkata, Konstabel RG Devendran ditidurkan bagi proses pemulihan, manakala, Koperal Adline Liu yang juga ditempatkan di ICU hospital terbabit sudah sedar dan stabil.

“Penjelasan yang diberi oleh doktor yang merawat mereka, kelima-lima berada dalam keadaan stabil. Ya, kita doakan supaya mereka segera sembuh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top