LONDON: Chelsea akan menanti kunjungan Real Madrid ke Stamford Bridge awal pagi Khamis ini waktu Malaysia dengan masih banyak perlu dilakukan untuk mara ke final Liga Juara-Juara selepas gagal mencari sentuhan pemusnah terhadap juara Eropah 13 kali itu pada pusingan pertama minggu lalu.
Keputusan 1-1 di ibu kota Sepanyol masih memberikan peluang lebih kepada The Blues hasil gol tempat lawan, namun skuad kendalian Thomas Tuchel sepatutnya mendapat kelebihan lebih banyak yang dibezakan oleh dua penyerang.
Dalam cerita musim pertamanya di Chelsea, Timo Werner terlepas banyak peluang terbaik untuk meletakkan pasukannya di depan pada awal permainan ketika penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois cemerlang ketika berdepan kelabnya.
Peluang yang terlepas itu turut dikritik isteri rakan sepasukan Werner, Thiago Silva.
“Di mana saya pergi ada penyerang yang asyik terlepas gol,” kata Isabelle da Silva namun ia sudah dipadamkan di laman Instagram miliknya.
Pada penghujungnya, Christian Pulisic meletakkan Chelsea di depan sebelum Karim Benzema hanya memerlukan sedikit peluang untuk membawa Real kembali dengan gol penyamaan yang juga ke-28 miliknya musim ini bagi berkongsi penjaring keempat terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara.
Itu jumlah Chelsea jangkakan apabila mereka membayar harga yang mahal bagi mendapatkan Werner Jun lalu ketika kelab lain termasuk Madrid, bergelut mencari wang hanya untuk membayar pemain dalam tempoh pandemik COVID-19 melanda bola sepak Eropah.
Bagaimanapun tiada seorangpun gandingan tiga pemain baharu – Werner, Kai Havertz dan Hakim Ziyech menunjukkan prestasi konsisten.
Havertz dan Ziyech memulakan saingan di bangku simpanan namun Tuchel terus setia menggunakan Werner sejak mengambil alih tugas pada Januari walaupun kurang gol.
Pemain antarabangsa Jerman itu hanya meledak tiga gol dalam 38 perlawanan terakhir kelab dan negara, satu daripadanya ketika berdepan pasukan divisyen empat, Morecambe pada Piala FA.
Tammy Abraham dikaitkan dengan perpindahan keluar dari kelab barat London itu kerana kurang diberi peluang oleh Tuchel, manakala pemain berusia 34 tahun, Olivier Giroud akan tamat kontrak pada penghujung musim.
Keperluan mendapatkan penyerang prolifik kembali menjadi jelas selepas peningkatan dalam aspek pertahanan sejak Tuchel menggantikan Frank Lampard hingga mencetuskan khabar angin Abramovich mungkin perlu dipaksa berbelanja besar sekali lagi.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




