Flat aura kondo

Flat aura kondo

nurul_husna@mediaprima.com.my

Persis kamar mandi hotel lima bintang! Itu yang dirasakan apabila menjenguk bilik air di kediaman milik Nurulhuda Abdullah ini.

Penulis tidak menyangka bilik air dalam kediaman flat berkeluasan 680 kaki persegi ini boleh diubah sedemikian rupa sehingga menyerlahkan aura kondominium eksklusif.

Kombinasi jubin batu cerah dan hitam bercorak membuatkan penataan ruang bilik air yang juga berfungsi sebagai ruang dobi memberi takrifan cita rasa mewah, tetapi sederhana.

Jujur penulis boleh menghabiskan masa berjam-jam di dalamnya sebagai gambaran keselesaan dan kepuasan berada di ruang itu.

Wanita berusia 50-an ini mengakui, pelaburan besar dibelanjakan untuk memiliki bilik air itu kerana asalnya ia ruang tandas dan bilik mandi berasingan.

“Bilik air dalam rumah ini tranformasi yang paling menonjol berbanding ruang lain kerana memang saya mahukan ada bilik air besar dan selesa.

“Saya dan suami mempelbagaikan fungsi bilik air sebagai ruang dobi kerana rumah dihuni hampir 20 tahun ini tiada ruang khas tambahan.

“Malah, kami perlu optimumkan ruang yang ada dengan memperbanyakkan fungsi ruang supaya sesuai dengan keperluan dan nilai estetika bilik air impian,” katanya.

Menceritakan pilihan cita rasa mewah untuk menata hias bilik air dan ruang lain kediaman kos rendah itu kata Nurulhuda, dia dan suami melihat rekaan itu praktikal dan tidak lapuk ditelan zaman sebagai satu pelaburan berbaloi.

“Mungkin ada berpendapat ‘selera’ tidak sepadan dengan ‘kemampuan’ tetapi kami anggap itu pelaburan selepas bertahun-tahun menyimpan untuk keselesaan sendiri.

“Lagipun rumah ini sudah menjadi milik sendiri, tidak salah lakukan pengubahsuaian yang dapat memberi nilai tambah bukan hanya kepada nilai rumah, tetapi juga kehidupan kami sekeluarga.

“Kami yang tinggal jadi dengan mencantikkan rumah memberi kepuasan lebih manfaat berbanding dihabiskan untuk perkara lain,” katanya.

Tambah Nurulhuda, dia menata rumahnya yang terletak di Jalan Puchong, Kuala Lumpur itu secara berperingkat hingga mendapat ‘rupa’ seperti sekarang.

“Kami baru sahaja melakukan ubah suai rumah apabila mendapat tawaran membeli selepas 18 tahun menyewa dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kebetulan pula sudah boleh buat pengeluaran wang persaraan jadi kerja-kerja pengubahsuaian sedikit demi sedikit.

“Bermula dengan dapur kemudian bilik air dan sekarang ialah ruang tamu utama. Cabarannya, ruang kediaman kami kecil dan perlu bijak dalam pemilihan perabot dan aksesori hiasan,” katanya.

Untuk ruang tamu, Nurulhuda cukup bijak menggabungkan rona biru lembut dan putih polos supaya ruang tampak luas.

Dia yang juga pernah berkhidmat sebagai penilai tuntutan insurans mengakui lebih banyak mengekalkan penggunaan warna putih dan warna pastel sebagai pilihan dalam menata hias ruang.

“Saya suka sesuatu yang ringkas, tetapi sedap mata memandang. Jadi konsep sesuai ialah Inggeris moden.

“Konsep Inggeris moden lebih minimalis dan sesuai diadaptasi pada ruang kediaman memiliki keluasan cukup terhad.

“Malah, saya guna warna putih, tetapi tonanya tidak terlalu dominan contohnya ‘off-white’ atau ‘champange’ agar tampak natural.

“Walaupun ada warna lain digunakan, tetapi tona lebih lembut dan pastel memberi sudut pandang selesa serta santai,” katanya.

Meskipun Nurulhuda meminati dekorasi atau menata hias ruang kediaman, tidak bermakna dia obses terhadap pembelian perabot atau aksesori yang trendy.

“Saya biasanya berbincang dengan suami kerana dia memiliki pengalaman serta minat yang sama.

“Kebetulan kami boleh jadi ‘sekepala’ dalam kerja mencari perabot dan aksesori. Sebelum pembelian sesuatu barangan, kami akan tengok ruang dan praktikaliti untuk membawa masuk barang terbabit.

“Membeli sofa umpamanya, suami sampai bawa pita ukur ke gudang atau kedai perabot untuk memastikan perabot itu muat dalam rumah.

“Begitu juga dengan aksesori dan barang elektrik, saiz serta fungsi diambil kira supaya tidak menjadi pembelian yang merugikan.

“Rumah kami kecil dan jika beli barang yang terlalu besar atau banyak, tiada tempat penyimpanan boleh menampungnya,” katanya.

Dia menyifatkan perlu ada ruang lapang supaya kediaman kecilnya itu tidak terlalu sarat dan akhirnya menjejaskan pemandangan keseluruhan dalam kediaman.

“Ideal untuk rumah kecil ialah sesuatu yang minimalis, tidak lapuk dek zaman dan praktikal.”Ini membolehkan pemilik kediaman lebih kreatif dan berhemah dalam menata hias kediaman,” katanya.Tambahnya, rutin membersihkan ruang adalah sesuatu yang sangat diperlukan bagi mereka yang memilih konsep Inggeris moden seperti kediamannya.”Disebabkan banyak warna putih dari perabot, langsir hingga aksesori, saya akan lap menggunakan tisu basah.”Memang banyak kerja tetapi satu kepuasan apabila dapat lihat pemandangan satu rumah bersih dan cantik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top